25 JAN : Identiti negara terutama dalam aspek kesenian dan kebudayaan perlu dipertahankan dalam perancangan pembangunan bandar di Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata meski dilengkapi teknologi canggih, bandar di Malaysia wajar dikenali dengan keunikannya tersendiri.
“Kita perlu jadikan Malaysia ini susuk bandarnya yang unik dan tersendiri, jadi saya gesa saudara (perancang bandar) beri perhatian lebih, supaya barulah boleh kita bangga dengan pembangunan yang menyeluruh.
“Ini cabaran buat saudara, apa lagi penemuan cara penyusunan dan pengurusan serta perancangan kini menggunakan kekuatan digital dan AI (kecerdasan buatan) dengan mengambil kira semua aspek, jangan ada kota yang mengekalkan jurang antara kelompok yang sangat berjaya dan kaya dengan masyarakat biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Perancangan 2024, malam tadi.
Selain mengutamakan perancangan yang teratur dan tersusun, perancangan bandar juga perlu mengambil kira persekitaran hijau dan keselesaan rakyat, agar tiada jurang dalam kalangan masyarakat.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata fokus perlu diberi kepada pembangunan negara dalam mendepani ketidakpastian dunia hari ini.
“Berikan tumpuan kepada isu pembangunan, perubahan dan anjakan yang berlaku, kita perlu fokus kepada pembangunan negara kita, politik perlu kuat dengan polisi ekonomi yang jelas dan kita perlu cuba yang terbaik untuk memperbaiki dan meningkat dalam setiap satu bidang.
“Jadi rakyat Malaysia di semua peringkat termasuk perancang dan kakitangan awam, elitis politik, komuniti perniagaan, kita perlu ambil kira apa yang berlaku kerana kita berhadapan dengan masa pascanormal, begitu banyak ketidakpastian,” katanya.