25 JAN : Kerajaan mengawal harga 16 barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bermula hari ini hingga 2 Febuari depan bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata bilangan barang yang dikawal kali ini meningkat berbanding pelaksanaan skim sama sebelumnya.
“Kali ini kita menambah daripada 11 barang kepada 16 barang pada tahun ini. Harga maksimum dilaksanakan berikutan permintaan beberapa barangan keperluan semasa musim perayaan.
“Jadi kemungkinan besar apabila berlaku permintaan yang tinggi, harga barangan berkenaan akan dinaikkan. Jadi sebab itu kita memperkenalkan SHMMP untuk persediaan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau sebuah pasar raya di ibu negara, hari ini.
Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menambah empat jenis barangan yang dikawal bawah skim itu iaitu ikan bawal putih, cili merah, bawang putih dan kubis bulat.
Terdahulu, Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali mengumumkan pelaksanaan skim ini bagi cili merah, bawang kuning besar, bawang besar merah import, sawi pendek atau sawi Jepun, ikan bawal putih (200-400 gram), udang putih (41-60 ekor sekilogram), kobis bulat import (Indonesia dan China), ubi kentang import (China), bawang putih (China), halia tua import, lobak merah, lobak putih serta produk berkaitan babi seperti babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi bercampur lemak.
Dalam pada itu kata Fuziah, pegawai yang bertugas akan menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di beberapa lokasi strategik seluruh negara sepanjang pelaksanaan skim itu.
“Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.
“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan bawah skim ini,” katanya.
Beliau sempat menyeru orang ramai agar melaporkan sebarang salah laku peniaga yang ingkar sepanjang pelaksanaan SHMMP itu.