25 JAN : Orang ramai diseru memanfaatkan sepenuhnya Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di kawasan masing-masing bagi meningkatkan taraf hidup dan kemahiran diri melalui kemajuan teknologi.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pelbagai program dan latihan disediakan di pusat itu termasuk dalam bidang keusahawanan.
Katanya, peniaga dan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) boleh memanfaatkan peluang itu untuk belajar bagi meluaskan perniagaan mereka ke platform e-dagang.
“Ini sekali gus membolehkan mereka menjangkau pasaran yang lebih luas, sama ada dalam mahupun luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan NADI Desa Tun Razak di Sungai Besi, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Wan Azizah yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri berkata melalui NADI, masyarakat di semua peringkat umur boleh menambah ilmu dan kemahiran yang sesuai selari dengan perkembangan teknologi.
“Di NADI, kita bukan sahaja diajar cara menggunakan teknologi, tetapi juga diberikan pengetahuan tentang bagaimana untuk melindungi diri dan keluarga daripada ancaman dunia maya.
“Program kesedaran keselamatan siber ini membantu kita lebih berhati-hati dengan data peribadi, mengelakkan risiko penipuan dalam talian dan ancaman keselamatan lain,” katanya.
Katanya lagi, NADI merupakan saluran penting untuk menyampaikan maklumat yang tepat dan terkini mengenai inisiatif kerajaan bagi memastikan rakyat memahami dasar serta peluang disediakan.
Sementara itu, MCMC dalam satu kenyataan berkata pelancaran NADI Desa Tun Razak itu menjadikan jumlah keseluruhan NADI di Kuala Lumpur sebanyak 24 pusat.
Kata MCMC, NADI bukan hanya menyediakan capaian Internet tetapi juga memperkasa komuniti melalui lima teras utama inisiatif Perkhidmatan Pintar yang diperkenalkan sejak Julai 2024 iaitu Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran, dan Inisiatif Kerajaan.
Inisiatif Perkhidmatan Pintar ini bertujuan memastikan setiap program yang dijalankan mampu memenuhi keperluan komuniti dengan lebih mendalam, sekali gus memberikan impak yang besar dalam memperbaiki kualiti hidup dan memacu kemajuan masyarakat secara menyeluruh.