25 JAN : Moody’s Ratings mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada tahap A3 dengan tinjauan ‘stabil’.
Agensi penarafan global itu memaklumkan Malaysia akan menjadi ekonomi penarafan A yang paling pesat berkembang dalam dua tahun akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu merupakan pengiktirafan terhadap usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam memacu perubahan struktur, berpandukan hala tuju dasar yang jelas dan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada piawaian tatakelola yang tinggi.
“Kerajaan kekal teguh dalam melaksanakan pembaharuan ekonomi dan merangsang pertumbuhan serantau agar agenda pembaharuan ini dapat dimanfaatkan semua rakyat Malaysia.
“Dalam tahun ini, kerajaan akan memastikan pembaharuan fiskal dan ekonomi lebih pesat, seperti digaris dalam Belanjawan 2025 di samping beri keutamaan kepada pelaburan berkualiti untuk mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi serta percepatkan pembangunan infrastruktur bersepadu bagi menyokong kpelbagaian ekonomi dan peluang baharu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pentadbirannya juga akan mengambil kesempatan selaku Pengerusi ASEAN 2025 untuk menerajui blok ekonomi itu ke arah ketertiban ekonomi bersepadu yang sentiasa bekerjasama dan menggalakkan keberhasilan yang saling menguntungkan bagi rantau ini.
Selain itu, Moody’s Ratings juga menyatakan prospek perumbuhan jangka sederhana Malaysia yang memberangsangkan.
“Kekuatan struktur kredit negara mengambil kira antaranya kepelbagai struktur ekonomi, daya saing dan kestabilan harga sebagai faktor menggalakkan perbelanjaan, disokong pasaran modal domestik yang kukuh dan sistem kewangan sofistikated,” kata kenyataan itu.
Selain itu, Moody’s Ratings juga mengiktiraf sokongan politik utuh yang memberi ruang untuk kerajaan melaksanakan pembaharuan struktur dan institusi signifikan temasuk penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 serta perudangan lain.
Menurut Kementerian Kewangan, berdasar anggaran awal KDNK suku keempat tahun 2024 pada 4.8%, Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran pertumbuhan antara 4.8% hingga 5.3%.
“Kerajaan optimis bahawa pertumbuhan ekonomi akan kekal teguh pada 2025 dengan unjuran antara 4.5% hingga 5.5%. Di samping itu, usaha konsolidasi fiskal akan terus menurunkan defisit, dijangka pada 4.3% daripada KDNK pada 2024 kepada 3.8% pada 2025, secara beransur selaras dengan penetapan sasaran fiskal di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023,” kata MoF.