25 JAN : Mulai Julai depan, mana-mana pemilik kenderaan yang memiliki tunggakan tiga notis saman akan disekat daripada memperbaharui lesen memandu mahu pun cukai jalan kenderaan serta disenarai hitam.
Tiga notis saman itu melibatkan Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).
Tindakan tegas itu berkuat kuasa selepas tawaran kompaun khas bagi tiga kesalahan itu berakhir 30 Jun depan.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata selagi saman tersebut tidak dijelaskan, pemilik kenderaan tidak boleh berurus niaga dengan JPJ.
“Mereka tidak boleh memperbaharui lesen dan cukai jalan kenderaan selagi tidak menjelaskan tunggakan saman.
“Jadi sekarang ini kita beri peluang kepada rakyat Malaysia yang mempunyai saman tiga kesalahan yang ditetapkan itu untuk menjelaskan segera.
“Ada 2 juta lagi (saman tertunggak), masih banyak. Kita tidak akan cari (pesalah) tapi kita sekarang dalam tempoh pemutihan, malah masih ramai belum tahu ada kadar kompaun khas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada majlis sumbangan Skuad Ihsan Madani JPJ dan pakaian seragam sekolah kepada mangsa banjir diSekolah Kebangsaan Bendang Nyior, Tanah Merah, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya menerima bayaran saman tertunggak sejumlah RM12.5 juta sejak tawaran kompaun khas dilancarkan awal Januari lalu dengan kadar rata RM150 bagi tiga kesalahan terbabit.
Dalam pada itu, Aedy Fadly menggesa orang ramai yang masih memiliki saman tertunggak memanfaatkan potongan harga itu bagi menyelesaikan saman masing-masing.
“Kompaun AwAS serendah RM150 sahaja jadi ambil lah peluang ini. Bayaran boleh dibuat melalui kaunter JPJ atau aplikasi MyJpj,” katanya.