Tumpu ekonomi, kemahiran daripada bahas isu merugikan
25 JAN : Malaysia perlu mencontohi negara luar yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada ekonomi, budaya ilmu, kemahiran, keterampilan dan kecerdasan buatan (AI) disebalik konflik politik mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia lebih bermanfaat berbanding membahaskan perkara yang hanya membawa kepada perpecahan.
“Alhamdulillah, berakhir misi delegasi Malaysia di empat negara iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom, Belgium dan Switzerland. Selain memperkukuh hubungan dua hala, menarik pelaburan dan meningkatkan perdagangan, saya menanggapi satu perkara penting.
“Meskipun rencam politik, pimpinan dan rakyat negara-negara ini memberi tumpuan penuh pada ekonomi, budaya ilmu, kemahiran, keterampilan dan kecerdasan buatan.
“Sikap ini harus kita teladani ketimbang sepanjang masa berbicara soal titik bengik yang memecah belah dan merugikan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, beliau selamat tiba di tanah air selepas mengetuai delegasi Malaysia ke empat negara tersebut dalam siri lawatan kerjanya mulai 12 Januari lalu yang berakhir di Davos, Switzerland untuk Perhimpunan Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025.
Menurut Anwar, sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun ini, beliau menggunakan misi kali ini untuk menjulang hubungan erat ASEAN sebagai kekuatan rantau ini.
“Keterangkuman dan kemampanan harus menjadi tunjang kebangkitan Malaysia dan ASEAN, dengan memilih perkongsian kemakmuran secara adil tanpa ada yang terkecuali.
“Di bawah kepengerusian Malaysia, blok ini berpegang teguh pada prinsip kepusatan ASEAN, di mana kita bebas bekerjasama dengan Amerika Syarikat, China, India, Eropah dan negara-negara lain tanpa perlu memihak atau terikat dengan konflik luaran,” katanya.