26 JAN : Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperjuangkan nasib golongan miskin dan rentan di negara ini sudah bermula empat dekad lalu semasa beliau masih bergelar mahasiswa.
Pengarah Eksekutif IDE Research Centre, Amidi Abdul Manan berkata komitmen Anwar dalam perjuangannya itu turut diktiraf Ketua Penasihat Bangladesh, Prof Muhammad Yunus ketika menjadi panel dalam Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland, baru-baru ini.
Mengagumi usaha perdana menteri itu, Amidi mengakui Kerangka MADANI yang dibangunkan Anwar merupakan kemuncak pengalaman beliau sepanjang berada dalam perkhidmatan awam serta berkhidmat kepada masyarakat.
“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Prof Mohamad Yunus di WEF baru-baru ini berkaitan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) merupakan satu bukti hidup betapa komitednya perdana menteri dalam mengangkat martabat kumpulan rentan miskin di negara ini.
“Maka benarlah apa yang pernah diungkapkan bahawa nukilan beliau dalam buku ‘Membangun Negara MADANI’ bahawasanya Kerangka MADANI merupakan kemuncak kepada pengalaman selama empat dekad dalam perkhidmatan awam dan belasan tahun yang dihabiskan bagi memikirkan tentang negara ini dan masa hadapannya.
“MADANI bukan sekadar slogan tetapi manifestasi kasih sayang dan taat setia seorang pejuang terhadap negaranya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohammad Yunus merupakan penerima Hadiah Nobel Keamanan 2006 dikenali atas jasanya membantu golongan tidak berkemampuan untuk memulakan perniagaan jangka panjang dengan memperkenalkan sistem pinjaman mikro kredit ketika Bangladesh berdepan krisis kebuluran pada 1974.
Menerusi sesi WEF bertajuk ‘ASEAN, Even Stronger Together’, Mohammad Yunus yang juga pengasas Garmeen Bank menyatakan Malaysia merupakan negara pertama yang mengadaptasi idea mikro kredit beliau melalui penubuhan AIM.
Menurut Amidi, Anwar melaksanakan usaha tersebut sewaktu beliau menjawat jawatan Menteri Pendidikan di mana beliau mengarahkan Universiti Sains Malaysia (USM) yang diketuai Prof Dr Shukor Kassim dan Dr Gibbon untuk menjalankan kajian mengenai kesesuaian konsep Bank Grameen di Malaysia pada 1987.
Dalam pada itu, Amidi berkata komitmen perdana menteri itu juga selaras dengan definisi ihsan yang turut dizahirkan oleh beliau menerusi buku Membangun Negara MADANI.
“Dalam buku Membangun Negara MADANI beliau memberikan takrifan sendiri berkaitan ihsan iaitu soal menyelami penderitaan orang lain, lalu berusaha untuk mencari jalan bagi mengubatinya,” katanya.
Dalam pada itu, Amidi turut menyoroti perjuangan Anwar dalam membela nasib golongan miskin yang bermula pada 1974 ketika beliau masih bergelar mahasiswa.
“Pada tahun 1974, Anwar ketika menjadi mahasiswa bergerak ke Baling, Kedah berdemonstrasi membela nasib pekebun kecil getah yang miskin, terhimpit kerana kejatuhan harga getah ketika itu.
“Pada 1985, ketika menjadi Menteri Pertanian, Anwar memperkenalkan Pasar Tani sebagai usaha memerangi penindasan orang tengah terhadap petani miskin di luar bandar,” katanya.