27 JAN : Anak muda di negara ini tidak boleh hanya sekadar menjadi penonton dalam gelanggang politik sebaliknya mereka perlu bangkit sebagai pemikir, perancang dan pelaksana yang mampu mencorakkan masa depan Malaysia.
Justeru itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO menubuhkan Sekolah Patriotik UMNO bagi melahirkan pemimpin masa depan yang bukan hanya memahami strategi dan selok-belok politik namun turut menjiwai nilai perjuangan sebenar UMNO.
“Saya percaya bahawa usaha ini adalah satu langkah strategik dalam memastikan UMNO terus relevan dan kekal sebagai tunjang politik negara.
“Anak muda hari ini tidak boleh hanya menjadi penonton dalam arena politik. Mereka perlu bangkit sebagai pemikir, perancang, dan pelaksana yang mampu mencorakkan masa depan Malaysia,” katanya.
Ahmad Zahid berkata institusi itu juga bukan sekada wadah pembelajaran politik tetapi juga medan membentuk roh dan jiwa perjuangan dalam kalangan orang muda.
“Saya telah melancarkan Sekolah Patriotik UMNO, sebuah institusi yang bukan sekadar wadah pembelajaran politik tetapi medan untuk membentuk roh dan jiwa perjuangan dalam kalangan generasi muda.
“Sekolah ini bertujuan melahirkan pemimpin masa depan yang bukan hanya memahami strategi dan selok-belok politik tetapi lebih penting, menjiwai nilai perjuangan UMNO yang sebenar.
“Kita mahu membina kepimpinan yang bukan sekadar mahir berpidato atau menguasai teori, tetapi benar-benar mempunyai daya juang, daya tahan dan daya saing yang tinggi tanpa mengabaikan kesetiaan kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Melalui Sekolah Patriotik UMNO, ruang dibuka seluas-luasnya kepada generasi muda untuk menyumbang idea, berdiskusi secara terbuka serta menjalani latihan kepimpinan yang akan memperkasa keupayaan mereka sebagai pemimpin masa hadapan.
Katanya, sebagai permulaan, 50 peserta perintis dipilih untuk mengikuti program di mana mereka menjalani melalui modul-modul latihan yang dirangka secara holistik, merangkumi aspek pemikiran kritis, kepimpinan strategik dan pemahaman mendalam terhadap perjuangan UMNO.
“Modul ini akan terus dikembangkan dan diperhalusi dari semasa ke semasa bagi memastikan keberkesanannya dalam membentuk generasi pemimpin yang cerdas, berani dan berkeyakinan tinggi untuk menggalas tanggungjawab besar dalam meneruskan obor perjuangan parti.
“Saya yakin dengan kesungguhan, disiplin dan semangat perjuangan yang tinggi, Sekolah Patriotik UMNO akan menjadi batu asas kepada kebangkitan generasi baharu yang akan membawa parti ini ke mercu kejayaan yang lebih gemilang,” katanya.