Israk dan Mikraj harus dibugar untuk pupuk semangat kerja lebih kuat
27 JAN : Pengalaman unik dialami Rasulullah SAW dalam peristiwa Israk dan Mikraj harus dibugarkan atau disegarkan bagi memupuk semangat berkerja lebih kuat dan berdisiplin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bagi mencapai ‘itqan fil amal’ (bersungguh dan tekun dalam setiap pekerjaan) serta teguh terhadap pengabdian penuh kepada Allah SWT.
Menurut Anwar, perjalanan spiritual Rasulullah SAW itu memberi kesan besar kepada roh dan kekuatan dalaman umat.
“Keistimewaan yang dianugerahkan kepada Rasulullah SAW melalui perjalanan Israk dan Mikraj merupakan satu perjalanan spiritual yang hadir bersama amanah solat punya dampak yang besar kepada roh dan kekuatan dalaman umat.
“Simbol kepimpinan Baginda Rasulullah SAW mengetuai solat dalam kalangan para Rasul yang lain jua mengambarkan kepentingan umat Islam yang dipayungi oleh Rasulullah SAW,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui satu hantaran di Facebook, hari ini sempena sambutan Israk dan Mikraj.
Dalam hantaran sama, Anwar berkata ibrah daripada peristiwa besar itu penting dalam konteks sejarah umat Islam khususnya peranan dua kota suci Makkah dan Baitulmaqdis.
“Sehubungan itu, ingatan dan doa kepada nasib rakyat Palestin yang tertindas dan terus mengalami penjajahan harus menjadi sebahagian sikap konsisten kita dalam memperjuangkan maruah dan keadilan untuk rakyat Palestin,” katanya.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim