Malaysia-Indonesia tingkat kerjasama pertahanan
27 JAN : Malaysia dan Indonesia mencapai kata sepakat untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pertahanan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia sedia meneliti kerjasama yang wajar berdasarkan pengalaman Indonesia dalam bidang pertahanan.
“Harus ada kesediaan pihak Malaysia untuk melihat apa yang mungkin kita peroleh dari Indonesia dan yang tentunya lebih utama ketimbang memperoleh atau membeli dari negara-negara lain.
“Jadi hal itu hanya akan berlaku sekiranya ada bukan sahaja persefahaman tapi kedekatan, keyakinan dan trust dalam kalangan pimpinan dan pasukan pimpinan,” katanya.
Anwar berkata demikian pada sidang media bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Menara Berkembar Petronas sempena lawatan negara ke Malaysia, hari ini.
Selain pertahanan, kata Anwar kedua-dua negara juga perlu meningkatkan kerjasama dalam ekonomi, perdagangan, pelaburan, pendidikan, kajian, teknologi makanan, industri hiliran serta tenaga.
Dalam pada itu, kunjungan Prabowo ke Malaysia atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan dikurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (D.K.1) pada sesi menghadap di Istana Negara, hari ini.
Anwar menyifatkannya sangat bermakna dan menghargai perkembangan itu yang menunjukkan keunikan hubungan antara negara.
“Itu tanda persahabatan, kekeluargaan dengan keluarga Sultan Ibrahim, Johor dan tentunya kita senang dengan perkembangan ini yang menunjukkan keistimewaan, keunikan persahabatan dan hubungan yang tidak berlaku di antara mana-mana negara lain.
“Jadi sekali lagi bagi pihak saya dan keluarga, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada sahabat dan saudara saya, saudara Prabowo Subianto yang dekat dalam masa senang susah, hanya di antara sahabat setia saya yang sentiasa memerhatikan dan mengambil berat dalam masa duka lara saya yang panjang.
“Tidak ramai yang kita boleh catat kehebatan, keikhlasan mereka dan saya senaraikan Prabowo Subianto di antara yang terkecuali kerana kedekatannya dan kesungguhannya sehinggakan menimbulkan juga ketidaksenangan dengan kemarahan daripada pihak tertentu pada ketika itu,” katanya.
Terdahulu, kedua pemimpin negara itu mengadakan pertemuan dan mesyuarat dua hala yang berlangsung lebih sejam.
Prabowo diberi sambutan negara penuh istiadat di Istana Negara hari ini bersempena lawatan negara pertamanya ke Malaysia dan negara Asia Tenggara sejak dilantik 20 Oktober tahun lalu.