Tidak boleh terus dabik dada dengan ketuanan Melayu
27 JAN : Masyarakat Melayu tidak sepatutnya masih khayal dengan ‘Melayu hilang kuasa’ atau mendabik dada dengan ‘ketuanan Melayu’.
Demikian peringatan diberi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis Syarahan Perdana ‘Islam: the Covenants Fulfilled’ oleh Syed Muhammad Naquib di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), malam tadi.
Menurut Anwar, keutuhan maruah dan kekuatan masyarakat Melayu dibina atas asas nilai Islam yang perlu terus dijulang sehingga hari ini.
“Ini adalah satu aspek yang perlu terus dijulang, terutamanya pada ketika ini, dan bukannya masih khayal dengan ‘Melayu hilang kuasa’ atau mendabik dada dengan ‘Ketuanan Melayu’,” katanya.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Prof Dr Alparslan Acikgenc dari Universiti Ibn Khaldun, Turkiye.
Menurut Anwar, perkara itu diketengahkan dalam beberapa buku yang ditulis ilmuan negara, Prof Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas.
Katanya, karya agung itu sebagai peringatan mengenai masa depan Islam yang berkaitan dengan kehidupan berdasarkan penguasaan menyeluruh nilai-nilai ketamadunan yang berteraskan keadilan, budaya, kebebasan, moral dan kemajuan masyarakat.
“Paling utama adalah seruan untuk mengatasi kejahilan dengan pengetahuan untuk beralih dari kegelapan kepada cahaya dan semua ini menjadi agenda utama yang sangat penting untuk tamadun yang mulia dan hebat,” katanya.
Anwar berkata ulama itu memberi inspirasi kepadanya sebagai murid untuk pergi lebih jauh, keluar dari zon selesa buku dan pengajiannya bagi bertindak untuk menjayakan sesuatu.
Malah kata Anwar, buku-buku tulisan Syed Muhammad Naquib ulama mengenai Islam dan Sekularisme yang diterbitkan lebih empat dekad lalu itu memberi kesan berpanjangan dalam dirinya dan percaya ia kekal relevan sehingga kini.
Justeru itu kata Anwar, kerajaan akan mengambil inisiatif menambah baik Perpustakaan Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) dengan koleksi semasa berjumlah lebih 150,000 naskhah buku.
“Mari kita doakan agar generasi akan datang mendapat inspirasi dan mendapat manfaat daripada ilmuan Islam kita, guru kita yang cemerlang, yang dikasihi Prof Diraja Naquib Al-Attas,” katanya.