28 JAN : Malaysia dilaporkan memberi kelulusan untuk kemasukan 7,964 pekerja Bangladesh daripada kira-kira 18,000 orang yang tertangguh proses migrasinya sebelum ini.
United News of Bangladesh (UNB) melaporkan pengesahan kemasukan kumpulan pertama itu dibuat Kementerian Luar Bangladesh (MoFA) pada taklimat media mingguan, semalam.
Jurucakap MoFA, Mohammad Rafiqul Alam berkata isu berkait kelewatan proses migrasi itu dibincangkan pihak Bangladesh dengan Malaysia pada bulan lalu.
Katanya, Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia bertemua dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di ibu negara susulan kelewatan berpanjangan tersebut.
Menurutnya, Saifuddin mencadangkan penubuhan Kumpulan Teknikal Bersama dalam mempercepatkan kemasukan pekerja secara berperingkat melibatkan wakil Jabatan Imigresen Malaysia dan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh.
Susulan itu kata Mohammad Rafiqul, dua mesyuarat diadakan dan senarai pekerja itudisemak dan disahkan dengan pihak berkepentingan negara di mana 7,964 pekerja itu termasuk dalam kemasukan segera bagi fasa pertama.