Keharmonian jamin kekuatan, pupuk perpaduan
28 JAN : Sempena sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat falsafah Confucius, seorang ahli falsafah Cina terkenal bahawa keharmonian menjamin kekuatan.
Katanya, falsafah itu bertepatan dalam memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.
“Dalam semangat menyambut perayaan besar bagi kaum Cina yakni Tahun Baharu Cina, kita kembali diingatkan oleh Confucius yang menekankan betapa keharmonian menjamin kekuatan.
“Lantas, falsafah kenegaraan ini bertepatan dalam menjelmakan sebuah tatanan (aturan) yang Madani, yang menghargai kepelbagaian budaya dan tradisi sambil memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum,” katanya melalui hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau mengajak semua rakyat menjadikan Tahun Baharu ini sebagai titik permulaan yang baharu dan segar.
“Justeru jadikan Tahun Baharu ini satu titik permulaan yang baharu dan segar untuk terus memperkukuh semangat kebersamaan dan kekeluargaan demi negara. Gong Xi Fa Cai kepada seluruh kaum Cina,” katanya.
Melalui klip video yang dikongsi, Anwar turut mengulangi harapan agar sambutan perayaan ini disambut bersama dengan baik oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
“Saya ingin mengucapkan kepada seluruh masyarakat China rakyat Malaysia xian nian kuai le, xin nian hao, nian nian hao.
“Saya ingin mengulangi semangat dan harapan saya untuk menyambut Hari Raya Cina bersama dan disambut dengan baik oleh semua keluarga kita, rakyat di Malaysia…yang dipelopori oleh masyarakat Cina dalam semangat Hari Raya Cina tapi disambut oleh semua rakyat di negara kita,” katanya.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim