Pindaan akta berkait keselamatan siber akan diwarta
28 JAN : Pindaan akta bagi menangani ancaman dan keselamatan siber akan diwartakan dalam masa terdekat.
Ia melibatkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata dengan pewartaaan pindaan bagi kedua-dua akta itu, kerajaan dapat menangani pelbagai isu jenayah siber termasuk pedofilia dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
“Semalam saya dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sudah perkenan pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia, Kanun Keseksaan mengenai buli siber dalam dan luar talian serta Akta Keselamatan Dalam Talian.
“Selepas ia diwartakan, insya-Allah kita akan berupaya untuk menangani beberapa masalah termasuk pedofilia dalam talian, jenayah seksual terhadap kanak-kanak, buli siber dan juga masalah berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran ChatBot Sebenarnya.my di Cyberjaya, hari ini.
Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024, 9 Disember lalu bagi memastikan negara bebas daripada ancaman siber seperti pedofilia, pornografi kanak-kanak, pengantunan seksual, penipuan dalam talian, buli siber dan judi dalam talian.
Selain itu, Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian 2024 pada 11 Disember lalu bertujuan meningkatkan dan menggalakkan keselamatan dalam talian di Malaysia.
Undang-undang yang ditumpukan kepada syarikat penyedia perkhidmatan itu merupakan keperluan dengan mengambil kira kemajuan teknologi telekomunikasi dan persekitaran dalam talian yang lebih mencabar serta berbahaya, memandangkan hampir 80 peratus rakyat Malaysia menggunakan platform media sosial.
Sementara itu pada sidang media majlis tersebut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti dokumen yang dikemuka penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial termasuk Meta Platforms Inc (Meta)
“Setakat semalam, Meta sudah menghantar sejumlah dokumen. Kita sedang proses dan kita jangkakan dalam masa yang tak terlalu lama akan kita lesenkan.
“Yang lain seperti yang saya sebut sebelum ini untuk Google, Microsoft yang menguruskan LinkedIn dan X, MCMC sedang susuli dan masing-masing mempunyai pandangan (berkait pelesenan),” katanya.