29 JAN : Selepas terpalit isu status di Facebook yang menyentuh sensitiviti umat Islam, MCA bakal memastikan insiden sama tidak berulang lagi.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menegaskan teguran terhadap MCA Johor sudah dilakukan dan permintaan maaf juga sudah dibuat.
Bagi mengelak perkara sama berulang pada masa depan, MCA Johor diarah untuk memperketat pengurusan laman sosial MCA Johor.
“Sebenarnya, bukan MCA yang tulis. Ia ditulis oleh seorang ‘admin’ (pengendali laman sosial) yang sudah bersara. Beliau meletakkan satu hantaran yang diterima dalam WhatsApp untuk dikongsi.
“Bila MCA Johor tahu, kita ambil tindakan segera (menurunkan hantaran) itu kelmarin dan sekali lagi, secara ikhlas, kita mohon maaf atas kekhilafan.
“Saya pun sudah tegur dan minta perkara ini dapat dilihat sebab kita tak mahu kekhilafan ini berulang,” katanya selepas majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Ka Siong berkata sebagai parti lama, MCA sentiasa menjaga keharmonian kaum dan mengekalkan semangat muhibah.
“Kita terus maju ke hadapan. Kita pastikan hantaran tidak dikongsi sewenang-wenangnya kerana kita faham tanggungjawab kita untuk menyebarkan apa yang betul dan mesej yang memanfaatkan,” katanya.
Semalam, MCA Johor membuat permohonan maaf susulan status di Facebook yang mempertikai soal pemberian diskaun tol sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Kenyataan itu menyebut kerajaan menyediakan dana untuk membantu rakyat Palestin dan peruntukan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mencetak al-Quran namun tidak memberi tol percuma ketika Tahun Baharu Cina.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh mengecam kenyataan yang dimuat naik itu.