29 JAN : Polis mengesahkan lima mangsa meninggal dunia dalam tragedi tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri manakala dua lagi cedera selepas kesemua mangsa ditemui, lewat petang tadi.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata mangsa terakhir ditemui jam 6.06 petang tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat.
Katanya, mayat wanita warga emas, Fatimah Dawi, 71 itu dibawa keluar dari kawasan runtuhan jam 6.26 petang dan dihantar ke Hospital Miri.
“Secara keseluruhannya 12 individu dikenal pasti tinggal di dua buah rumah yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh berkenaan.
“Daripada jumlah itu, lima disahkan meninggal manakala dua lagi cedera. Mangsa yang cedera termasuk seorang ditemui di tempat kejadian manakala yang lain menyelamatkan diri,” katanya.
Mangsa yang meninggal dunia merupakan seorang remaja lelaki 17 tahun yang berjaya ditemui jam 6 pagi tadi diikuti wanita berusia 41 tahun ditemui jam 10.40 pagi, seorang kanak-kanak perempuan 8 tahun ditemui jam 11.30 pagi dan seorang kanak-kanak 11 tahun ditemui 10 minit kemudian.
Identiti mereka masih belum didedahkan namun dipercayai mempunyai pertalian darah.
Terdahulu, Alexson memaklumkan dalam kejadian tanah runtuh di kampung itu, dua buah rumah tertimbus dengan lapan orang terdiri daripada dua lelaki dan enam perempuan terperangkap di bawah runtuhan itu.
Pagi semalam, selepas empat runtuhan yang berlaku susulan hujan lebat berterusan sejak Isnin, lebih 300 penduduk di kampung berkenaan diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing.
Sementara itu, 109 mangsa tanah runtuh daripada 23 keluarga berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Bulan Sabit Miri.