29 JAN : Dua buah rumah di Kampung Lereng Bukit, Miri ditimpa tanah runtuh dalam kejadian awal pagi tadi akibat hujan lebat berterusan sejak Isnin.
Pasukan penyelamat menemukan mayat seorang remaja lelaki berusia 17 tahun kira-kira 6.17 pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam laporan terkini memaklumkan mayat itu dijumpai dalam runtuhan salah sebuah rumah yang terlibat.
Difahamkan pasukan penyelamat dalam usaha mengesan empat lagi mangsa yang dikhuatiri tertimbus dipercayai dua wanita dewasa berumur 71 dan 41 tahun serta dua kanak-kanak perempuan berusia 8 dan 12 tahun.
Sementara tujuh lagi penghuni bagi kedua-dua rumah itu berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian tersebut.
Terdahulu, jurucakap pusat gerakan itu memaklumkan pihaknya menerima laporan kejadian itu sekitar jam 2.58 pagi tadi.
“Dua jentera dengan kekuatan 15 anggota diatur gerak ke lokasi dan tiba lima minit kemudian.
“Lokasi kejadian adalah Lot 287 A, Lot 287 B, Kampung Lereng Bukit dan pasukan dimaklumkan terdapat tujuh mangsa terlibat,” katanya.
Pagi semalam, selepas empat runtuhan yang berlaku susulan hujan lebat berterusan sejak Isnin, lebih 300 penduduk di kampung berkenaan diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing.
Sementara itu, 109 mangsa daripada 23 keluarga berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Bulan Sabit Miri.