29 JAN : Kesemua mangsa yang terbabit dalam tragedi tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri sudah dikenal pasti, hari ini.
Lima yang maut adalah Fatimah Dawi, 71; Sazarena Arabi, 41; Irsyad Syairah, 16; Nur Rania Syafiqah, 11 dan Nur Raisyah Syahirah, 8.
Kesemuanya disahkan serumah dengan dua lagi mangsa yang terselamat iaitu Nur Irsalina Syairah, 17 dan Arabi Samsudin, 71.
Sementara lima pagi mangsa yang terselamat ialah Nur Afiqah, 29; Nur Athirah Nabinah, 29; Nur Aqilah Nadirah, 18; Muhammad Mahmud, 60 dan Massahan Mustafa, 58.
Menurut hantaran keluarga mangsa, Azfar Putit di akaun Facebooknya, jenazah Sazarena dan tiga anaknya akan diuruskan di Masjid Al Taqwa Miri esok sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pujut 5.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu memaklumkan dalam kejadian tanah runtuh jam 2.58 pagi itu dua buah rumah tertimbus dengan lapan orang terdiri daripada dua lelaki dan enam perempuan terperangkap di bawah runtuhan itu.
Pagi semalam, selepas empat runtuhan yang berlaku susulan hujan lebat berterusan sejak Isnin, lebih 300 penduduk di kampung berkenaan diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing.
Sementara itu, 109 mangsa tanah runtuh daripada 23 keluarga berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Bulan Sabit Miri.
*Foto : Facebook Azfar Putit