30 JAN : Kerajaan sudah menggerakkan aset dan petugas ke kawasan terjejas banjir di Sabah dan Sarawak yang berdepan Monsun Timur Laut (MTL).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata koordinasi dijalankan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara (JPBN) di negeri untuk mobilisasi aset ke kawasan berisiko banjir.
“Dari segi kesiapsiagaan aset termasuk aset-asetnya (bagi membaik pulih) mana-mana jambatan yang runtuh dan sebagainya untuk langkah segera termasuk untuk adakan jambatan Bailey.
“Kita sudah koordinasikan dengan Kor Jurutera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membina jambatan Bailey dalam tempoh 72 jam selepas kajian terperinci mengenai kesesuaian muka bumi dibuat.
“Begitu juga perkara yang diselia Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk mobilisasi sukarelawan dan bantuan mankanan bersesuaian,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian selepas program Sesi Ramah Mesra dan Taklimat Projek Pembinaan Bangunan SM Imtiyaz Tuminah Hamidi di Bagan Datuk, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi JPBN berkata prosedur operasi standard (SOP) pengurusan banjir yang diguna pakai di Sabah dan Sarawak sama dengan di semenanjung.
“Saya sering mengingatkan bahawa MTL ini (mula) daripada Semenanjung dan akan berpindah ke Sabah dan Sarawak sehingga dijangka tamat pada pengakhiran Mac.
“Maka tentunya kita minta (penduduk) di kawasan yang dijangka menerima jumlah luruan hujan melebihi daripada biasa untuk siap siaga. Kekhuatiran kita adalah apabila air pasang bersama-sama dengan limpahan air hujan yang menjadikan keadaan itu harus untuk dilakukan pemindahan lebih awal.
“Bahkan MetMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia) sudah mengeluarkan amaran dan SOP yang perlu dilakukan iaitu harus berpindah sekurang-kurangnya tiga hari sebelum berlaku luruan hujan yang dijangkakan. Tetapi jadi masalah apabila ada yang tidak berpindah dan hanya berpindah apabila paras air sudah sampai ke bumbung,” katanya.
Menurutnya lagi, taburan hujan direkodkan melebihi 20.0 mm harian di Sarawak iaitu melebihi purata hujan bulanan.
Katanya, tiad aisu kekurangan pusat pemindahan sementara (PPS) di negara ini susulan memiliki 22,000 lokasi seluruh negara.
Setakat jam 12 tengah hari tadi, angka mangsa banjir di Sabah dan Sarawak terus meningkat dengan 6,610 orang mangsa daripada 1,792 keluarga dipindahkan ke 47 PPS di Sarawak sementara 3,550 daripada 1,232 keluarga berlindung di 25 PPS di Sabah.