Banjir Sabah, Sarawak kian memburuk, hampir 12,000 dipindahkan
30 JAN : Keadaan banjir yang melanda Sabah dan Sarawak dilaporkan semakin memburuk apabila mangsa yang terjejas kini terus meningkat kepada 11,886 orang, malam ini.
Mangsa banjir di Sarawak meningkat kepada 7,503 orang daripada 2,096 keluarga berbanding 6,610 orang mangsa daripada 1,792 keluarga, petang tadi.
Laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak memaklumkan daerah Bintulu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,922 orang daripada 471 keluarga yang berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS).
Sementara di daerah Serian terdapat 1,882 mangsa daripada 593 keluarga ditempatkan di 16 PPS.
Di Selangau pula, 728 mangsa daripada 151 keluarga berlindung di tiga PPS manakala mangsa banjir di Tatau mencatatkan 426 mangsa daripada 129 keluarga ditempatkan di dua PPS dan di Kuching, 402 mangsa daripada 151 keluarga berlindung di tiga PPS.
Sekretariat itu memberitahu empat PPS baharu diaktifkan susulan pertambahan mangsa banjir hari ini masing-masing di Bintulu, Serian, Gedong dan Selangau.
Sementara keadaan banjir di Sabah juga mencatat peningkatan dengan angka terbaharu mangsa banjir mencecah 4,396 orang daripada 1,464 keluarga malam ini berbanding 3,550 daripada 1,232 keluarga, petang tadi.
Terdapat 37 PPS yang diaktif di 10 daerah di Sabah
Daerah Kota Marudu paling teruk terjejas dengan 2,360 orang berlindung di lapan PPS melibatkan 866 keluarga.
Dalam pada itu, 432 orang berlindung di tiga PPS di daerah Lahad Datu daripada 115 keluarga manakala 406 orang mangsa berlindung di tujuh PPS di daerah Telupid membabitkan 107 keluarga.
Sementara itu, 305 mangsa ditempatkan di tiga PPS di daerah Pitas daripada 117 keluarga, 304 orang lagi daripada 88 keluarga ditempatkan di empat PPS di Kota Belud dan 190 orang daripada 55 keluarga berlindung di tiga PPS di Beluran.
Selain itu, 120 orang berlindung di enam PPS di Paitan membabitkan 44 keluarga, 118 orang di sebuah PPS di Sandakan daripada 28 keluarga, 107 mangsa di sebuah PPS di Beaufort daripada 31 keluarga dan 54 orang daripada 13 keluarga berlindung di sebuah PPS di Tongod.