30 JAN : Seorang lagi tentera wanita Israel dibebaskan kumpulan pejuang Palestin, Hamas di bawah perjanjian gencatan senjata, hari ini.
Wanita itu, Agam Berger kelihatan berjalan menuju ke pentas sambil memegang cenderahati diberi Hamas sambil melambai tangan.
Menurut laporan Agensi Anadolu, Agam diserahkan kepada wakil Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) di kawasan Al-Razan di Kem Pelarian Jabalia, utara Gaza.
Dalam pada itu, laporan menyebut tentera Israel mengesahkan sudah menerima tentera wanita itu daripada wakil ICRC dan dibawa keluar dari Gaza ke satu kemudahan tentera berhampiran penempatan di sempadan Re’im untuk pemeriksaan awal.
Dalam pada itu, Reuters melaporkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan penangguhan pembebasan 110 tahanan Palestin yang dijadual dibebaskan pada Khamis dan bas yang membawa mereka diarah berpatah balik ke penjara.
Penangguhan itu dikatakan susulan kekecohan di salah satu lokasi penyerahan apabila tebusan Israel dikerumuni orang ramai.
“Penyerahan tebusan itu dengan dikerumuni orang ramai adalah mengejutkan selain mengundang risiko keselamatan termasuk kematian dan kecederaan,” kata Netanyahu.
Dalam pada itu, Hamas mendesak pengantara campur tangan dalam keputusan penangguhan tahanan Palestin itu.
Fasa pertama perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa selama enam minggu mulai 19 Januari lalu.
Di bawah fasa pertama perjanjian itu, 33 tahanan Israel dijadual dibebaskan sebagai pertukaran bagi antara 1,700 hingga 2,000 tahanan Palestin.