30 JAN : Semua maahad tahfiz di negara ini dinasihatkan berdaftar dengan kerajaan negeri bagi mengelakkan tercicir dari sebarang bantuan susulan hanya 1,199 maahad tahfiz yang berdaftar setakat ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan masih ada sekitar 2,500 yang belum berdaftar mungkin kerana tidak mematuhi piawaian bomba namun beliau menyaran agar mereka tetap mendaftar.
“Mungkin mereka takut nak daftar sebab tak patuh piawaian bomba dan sebagainya, mungkin asrama tak lengkap, sebaiknya daftar, jangan harap pada sumbangan dan yuran daripada ibu bapa semata-mata, insya-Allah saya bantu, tetapi syarat perlu daftar, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sesi Ramah Mesra dan Taklimat Projek Pembinaan Bangunan Sekolah Menengah Imtiyaz Tuminah Hamidi di Bagan Datuk, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berkata Kerajaan MADANI akan memastikan semua sekolah yang berdaftar di negara ini mendapat bantuan sewajarnya bagi mewujudkan persekitaran kondusif untuk pelajar-pelajarnya.
Selain itu katanya, kerajaan juga akan memastikan lulusan sekolah aliran agama diberi peluang yang sama dengan aliran profesional yang lain.
“Bila saya diamanahkan sebagai Pengerusi TVET, saya tak lupakan sekolah maahad. Saya ‘TVET’ kan sekolah maahad tahfiz supaya mereka juga belajar subjek teknikal dan vokasional, kita sedang tukar ekosistem pendidikan agar lebih insklusif,” katanya.
Mengulas mengenai pembinaan SM Imtiaz Tuminah Hamidi itu, Ahmad Zahid berkata strukturnya dijangka siap hujung tahun ini.