Malaysia negara ASEAN pertama bangun bandar wakaf di Gaza : MAPIM
30 JAN : Malaysia bakal mencipta sejarah menjadi negara pertama di ASEAN yang membangunkan bandar wakaf di Gaza sejajar komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempercepat pembangunan semula Gaza.
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) memaklumkan Projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza itu akan dilancarkan selepas Ramadan ini dengan pemberian tanah wakaf seluas 87 ekar yang telah dimetrai perjanjian dalam Gaza pada Februari 2023.
Menurut MAPIM dalam satu kenyataan, usaha ini bukan sahaja mencermin komitmen Malaysia dalam membantu membangunkan semula Gaza pasca peperangan namun juga memperkukuh kedudukan negara di pentas antarabangsa sebagai penyokong utama perjuangan Palestin.
Projek itu turut mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitah dan melancarkan Tabung Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza pada Mac 2024 sebagai sebahagian daripada usaha negeri dalam membangunkan Gaza.
Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia yang juga pengarah projek itu, Datuk Sani Araby berkata pembangunan bandar wakaf ini menjadi model pembangunan di peringkat global.
“Pembangunan bandar wakaf ini bukan sekadar inisiatif bantuan, tetapi model pembangunan wakaf pertama Malaysia di bumi Palestin yang boleh dijadikan contoh di peringkat global.
“Ini adalah himpunan hati dan solidariti Malaysia merangkumi semua bangsa dan agama yang menjayakan untuk bina semula Gaza,” katanya.
Beliau optimis projek berimpak tinggi ini dapat dibangunkan dengan sokongan langsung Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, semua agensi, badan korporat dan badan bukan kerajaan (NGO).
Projek menelan kos RM120 juta itu melibatkan beberapa komponen termasuk 14 blok apartmen, sebuah masjid, 56 unit premis perniagaan, taman rekreasi, sebuah klinik kesihatan, sekolah dan menara tangki air seperti berikut:
-Masjid Berkembar Shah Alam, Apartmen Wakaf Selangor dan Menara Tangki Air – diwakaf oleh Kerajaan Negeri Selangor sebagai sebahagian daripada komitmen negeri dalam membantu membangunkan semula Gaza.
-Sekolah Malaysia di Bandar Wakaf Gaza – diwakafkan oleh Cinta Gaza Malaysia (CGM) diketuai Muhammad Nadir Al-Nuri yang juga dilantik sebagai Timbalan Pengarah Projek Bandar Wakaf Malaysia-Gaza.
-Malaysia Central Kitchen dan Apartmen Wakaf Putrajaya – Ditaja Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) dengan penglibatan langsung Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebagai pusat makanan komuniti yang akan menyediakan bantuan makanan harian kepada penduduk Gaza.
– Apartmen Wakaf oleh negeri-negeri lain – Kerajaan Negeri Terengganu, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang telah bersetuju untuk sinergi wakaf di Gaza sebagai sebahagian daripada inisiatif ini.
*Foto : Tangkap layar video UNRWA