30 JAN : Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diarah memperkemas penyelarasan jentera persekutuan dan negeri bagi menghadapi bencana banjir di Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keutamaan perlu diberi kepada kebajikan mangsa banjir serta keselamatan penduduk di kawasan terjejas.
“Berduka cita menerima perkhabaran situasi banjir yang semakin buruk di Sabah dan Sarawak. Saya zahirkan simpati pada ribuan saudara kita di sana yang terkesan dengan bencana ini.
“Saya juga mengarahkan NADMA memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera agensi persekutuan dan negeri. Keutamaan saat ini adalah kebajikan mangsa banjir serta keselamatan penduduk di kawasan terkesan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu dilaporkan mangsa banjir di Sabah dan Sarawak sudah mencecah 8,656 orang yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka dinaiki air akibat luruan hujan yang lebat bersama air pasang besar.
Dalam pada itu, Anwar berkata Jabatan Pendidikan Negeri turut diarah untuk smengambil langkah sewajarnya bagi memastikan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas dapat menjalani peperiksaan dengan selamat dan kondusif.
*Foto: Facebook APM
Katanya, Skuad Ihsan MADANI akan digerakkan bagi membantu mangsa banjir di PPS serta bersiap siaga bagi penugasan pasca banjir.
Beliau berharap kesemua mangsa banjir yang terkesan diberi kesabaran dan ketabahan sepanjang tempoh musibah ini melanda.
*OLEH : HANUM RAJAK