Bangun semula Gaza mampu beri harapan, kekuatan kepada rakyat Palestin
31 JAN : Membangun semula Gaza dilihat bukan sahaja mampu memulihkan wilayah itu dari segi fizikal malah ia juga mampu memberi harapan serta kekuatan kepada rakyat Palestin untuk terus bertahan.
Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Syahrir Azfar Saleh berkata pihaknya menyambut baik hasrat kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membina semula Gaza seperti yang diumumkan, baru-baru ini.
“GPM percaya bahawa usaha ini bukan sahaja akan memulihkan Gaza dari segi fizikal tetapi juga memberikan harapan dan kekuatan kepada rakyat Palestin untuk terus bertahan dan membina masa depan yang lebih baik.
“Kami mengajak semua pihak, termasuk rakyat Malaysia dan organisasi masyarakat sivil, untuk bersama-sama menyokong inisiatif ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, Anwar mengumumkan Kerajaan Malaysia dan Jepun akan menyegerakan pembangunan semula Gaza dengan membina sebuah sekolah, hospital dan masjid.
Mengulas lanjut, Syahrir berkata GPM Malaysia menyokong penuh inisiatif kerajaan itu dan mengalu-alukan kerjasama strategik antara Malaysia dengan Jepun untuk menubuhkan dana pembangunan melalui inisiatif Asia Timur.
Katanya, GPM Malaysia juga memberi jaminan untuk terus menyokong proses pemulihan Gaza melalui pelancaran #KempenPulihkanGaza yang bermula pada 16 Januari lalu.
“Kempen ini akan memberi tumpuan kepada beberapa aspek pemulihan yang kritikal termasuk membaiki dan membina kembali rumah serta tempat kediaman yang rosak atau musnah, membangunkan semula pendidikan termasuk membina kembali Sekolah Tahfiz Siraj Al-Munir yang dimusnahkan semasa konflik dan memberikan sokongan segera kepada pelajar di Gaza agar dapat memulakan pendidikan mereka.
“Memberikan sokongan perlindungan kepada anak-anak Gaza yang menjadi yatim melalui Kempen Anak Angkat Gaza GPM, membangunkan ekonomi jangka panjang termasuk membina semula ladang ternakan ayam moden serta kilang roti bagi memastikan keperluan makanan rakyat Gaza dapat dipenuhi selain meneruskan bantuan kecemasan lain seperti bantuan khemah, makanan asasi, bekalan air bersih, kit kebersihan juga keperluan kehidupan lain yang amat penting dan mendesak,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, PKR melalui Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agamanya, Amidi Abdul Manan menyifatkan tindakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz yang mengkritik tindakan Anwar membantu rakyat Palestin sebagai tidak wajar.
“Selaku individu atau pemimpin yang memahami selok belok hubungan antarabangsa seharusnya tidak mengeluarkan kenyataan seumpama itu. Israel tidak pernah tunduk dengan mana-mana desakan antarabangsa khususnya penyelesaian dua negara walau telah diputuskan diperingkat PBB.
“Oleh itu kenyataan Tan Sri Rafidah seolah-olah menunggu kucing bertanduk. Syarat atau kondisi yang diletakkan untuk kita membantu rakyat Palestin hampir mustahil akan terjadi. Ini adalah berdasarkan rekod sejarah selama ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau sempat mengingatkan kembali episod derita rakyat Palestin yang diserang Israel tanpa belas sejak sekian lama termasuk solat hari raya dalam runtuhan bangunan serta serangan ke atas sekolah serta hospital.
“Dimanakah rasa kasihan belas Tan Sri? Saya akui mungkin ada kebenarannya apabila Tan Sri menimbulkan penggunaan dana awam yang bersumberkan cukai dan sebagainya.
“Jika demikian, kenapa dilaksanakan projek mega ketika Tan Sri sebagai anggota kabinet sedangkan ketika itu wujud juga sekolah daif di luar bandar, jalan rosak dan hospital uzur di pedalaman negara.
“Adakah Tan Sri akan tersenyum gembira, tatkala negara kita dirundung musibah dan memerlukan bantuan asing, semua negara memberikan alasan masih ada sekolah daif di negara mereka dan masih ada hospital yang uzur perlu diberikan perhatian?,” katanya.
*Foto : Tangkap layar video UNRWA