Malaysia teruskan dasar baik dengan semua negara
31 JAN : Kerajaan Malaysia hari ini akan meneruskan dasar berbaik dengan semua negara termasuk kuasa besar, China dan Amerika Syarikat (AS) yang berseteru.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia penting demi kelangsungan ekonomi negara dan manfaat terhadap rakyat secara keseluruhannya.
Katanya, pada era sekarang, Malaysia tidak boleh lagi hanya bergantung kepada satu-satu negara demi menjamin kekukuhan ekonominya.
“Kita perlukan kawan sekarang, kita tak boleh bergantung. Dulu kita memihak belah sana belah sini…sekarang kita teruskan minta pelaburan dari AS. Kita baiki hubungan kita dengan Kesatuan Eropah, kita baiki dengan BRICS dan kita rapat dengan negara China.
“China negara penting di rantau ini, kekuatan ekonomi besar dan hubungan kita baik.Baik itu untuk kepentingan rakyat dan ekonomi. Ada orang bangkitkan di kampung-kampung, kita serah semua kepada negara China. Ini pemikiran-pemikiran yang rosak.
“Kalau kita banyak duduk dengan Amerika tak apa pula…dengan Eropah tak apa pula. Ini mentaliti terjajah. Bagi kita, siapa pun termasuk negara China yang datang melabur, kita beri galakan. Yang baik dengan kita, kita lebih baik dengan mereka. Ini dasar kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perayaan Tahun Baharu Cina 2025 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI), hari ini.
Mengulas soal hubungan baik Malaysia dengan China, Anwar menyifatkannya sebagai penting kerana negara itu mempunyai kekuatan ekonomi yang diperlukan negara.
“Baru-baru ini berlaku beberapa perubahan dalam kecerdasan buatan (A) yang dulu dikuasai AS tapi tiga hari lalu dikejutkan dengan Deepseek dari China yang mengejutkan dunia dengan keupayaan negara itu.
“Semalam, keluar pula lagi daripada Alibaba. Maknanya kekuatan negara China kita manfaatkan. Sebab itu saya kata jangan kita terperangkap dengan fikiran lama yang hanya bergantung kepada satu negara. Kita harus baik dengan semua negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua lapisan masyarakat berganding bahu bersama-sama beliau membawa negara ke arah yang lebih cemerlang dalam tempoh pentadbirannya yang masih ada.
“Saya optismis…saya bukan wakili kumpulan muda, saya dah lama dalam politik ini. Dalam beberapa tahun yang ada saya nak tumpu dengan rakan-rakan saya dan saya minta kerjasama petani, nelayan, nuruh, peniaga, pengusaha, orang Melayu, Cina, India, ban, kaKdazan kita tumpu…dan saya beri jaminan negara ini akan ditadbir dengan bersih.
“Saya tidak akan tolak ansur dengan salah guna kuasa dan rasuah kerana ini merosakkan negara kita,” katanya.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim