Banjir: TDM sedia gerak 2,800 anggota ke Sabah, Sarawak
1 FEB : Tentera Darat Malaysia (TDM) sedia menggerakkan 2,800 anggotanya untuk membantu mangsa banjir di Sabah dan Sarawak
Panglima TDM, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata setakat ini anggotanya di Sabah dan Sarawak sudah turun untuk membantu mangsa banjir yang terjejas.
Katanya, arahan juga sudah dikeluarkan supaya anggotanya bekerjasama dengan agensi keselamatan lain yang terlibat dalam misi itu.
“Banjir di Sarawak melibatkan 13 daerah. Kita sudah mengarahkan Panglima Medan Timur di sana untuk bekerjasama dengan semua agensi keselamatan yang terlibat.
“Alhamdulillah, kehadiran anggota tentera di sana banyak membantu pihak penguatkuasa yang lain.
“Walaupun kita bukan agensi utama yang bertanggungjawab dalam pengurusan bencana di sana, polisi kita adalah menjadi penggerak pertama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 201/2024 dan Wanita Siri 49/2024 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di Port Dickson, hari ini.
Menurut laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana, Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) setakat jam 8 malam tadi, 12,588 mangsa terjejas bencana termasuk banjir, tanah runtuh berlindung di 64 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan 3,673 keluarga.
Sementara di Sabah, keadaan banjir semakin berkurang namun masih ada 1,485 orang mangsa daripada 493 keluarga berlindung di 13 PPS.
*Foto: Facebook Tentera Darat Malaysia