1 FEB : Kenyataan mempertikai usaha kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membangun semula Gaza disifatkan sebagai kurang cerdik dan mempamerkan kejahilan moral membimbangkan.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata keprihatinan negara terhadap kezaliman bukan benda baharu malah sudah dibuktikan oleh sejarah.
“Saya terpanggil untuk menyanggah beberapa pandangan dangkal termasuk daripada seorang mantan menteri yang mendakwa Malaysia perlu lebih mengutamakan rakyat sendiri ketimbang nasib rakyat Palestin yang nun 7600 kilometer jauh dari tanah air.
“Ternyata ia bukan sekadar hujah yang kurang cerdik tetapi juga mencerminkan satu gejala kejahilan moral yang membimbangkan.
“Mesti ditegaskan bahawa Malaysia tidak boleh dan tidak akan menjadi penonton dalam sejarah. Kita telah lama menentang segala bentuk kezaliman dan penindasan dan kita tidak akan berhenti hanya kerana ada segelintir berasa ‘terlalu jauh’ untuk peduli,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz menyarankan kerajaan memberi keutamaan menyelesaikan isu dalam negara terlebih dahulu sebelum menyatakan komitmen untuk membangun semula Gaza.
Menurut Muhammad Kamil, kepedulian Malaysia terhadap Palestin selama ini tidak bermakna kerajaan mengabaikan kebajikan rakyat di negara ini.
“Lebih parah, ada yang menggunakan alasan bahawa ‘kita perlu utamakan rakyat Malaysia dahulu’. Ini satu hujah yang sangat malas. Sejak bila menonjolkan kepedulian kepada Palestin bermakna kita menggadai dan mengabaikan kepentingan dan kebajikan rakyat sendiri?
“Adakah keupayaan untuk punyai sikap ihsan terbatas pada rakyat sendiri sahaja?,” katanya.
Menurut Muhammad Kamil, sejak dulu negara sentiasa menunjukkan keprihatinan tinggi terhadap kezaliman yang berlaku bukan sekadar di Palestin malah termasuk di Bosnia dan Afrika Selatan.
“Adakah kita hanya perlu bersuara dan berjuang untuk keadilan jika ia berlaku dalam lingkungan sempadan negara sahaja? Jika itu logiknya, maka kita tidak sepatutnya mengutuk keras kezaliman apartheid di Afrika Selatan dahulu. Jika itu hujahnya, maka kita juga tidak perlu menghantar bantuan kemanusiaan ke Bosnia semasa pembantaian yang amat dahsyat di Srebrenica.
“Namun, sejarah membuktikan bahawa Malaysia tidak pernah menjadi sekadar penonton kepada sejarah malah turun sama ke gelanggang menyusun sejarah. Ketika dunia membisu dalam tragedi Bosnia, Malaysia tidak hanya sekadar bersolidariti jauh dari hiruk pikuk kemelut malah, Malaysia menghantar pasukan pengaman, memberi bantuan ketenteraan kepada Bosnia dan menyumbang secara signifikan untuk membela rakyat yang dizalimi dan tertindas.
“Jika pada ketika itu kita mampu bertindak dan punyai sikap keprihatinan yang tinggi, lantas mengapa sekarang kita perlu ‘menjaga tepi kain sendiri’ dan mengabaikan tuntutan keadilan buat rakyat Palestin?,” katanya.
Pada Rabu, Anwar mengumumkan Malaysia akan memulakan usaha membina semula Gaza dengan pembinaan sebuah sekolah, rumah sakit dan masjid di mana ia dapat disegerakan atas usaha bersama dengan Kerajaan Jepun.
Diikuti pengumuman Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bahawa Malaysia bakal mencipta sejarah menjadi negara pertama di ASEAN yang membangunkan bandar wakaf di Gaza.
*OLEH : HANUM RAJAK