Utamakan perpaduan, keharmonian dalam mengejar pembangunan
1 FEB : Perpaduan dan keharmonian perlu diutamakan dalam keghairahan mengejar arus pembangunan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu selaras dengan konsep MADANI yang menuntut tali permuafakatan digenggam erat.
“Dalam mengejar arus pembangunan, keharmonian dan perpaduan perlu diutamakan dan tidak dilupakan bagi membentuk kestabilan pentadbiran negara.
“Ini selaras dengan konsep Madani yang menuntut kita semua untuk mengenggam erat tali permuafakatan dalam menjayakan agenda pembangunan dan kemajuan negara, baik untuk hari ini dan juga hari mendatang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang ke-21, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar menjulang rasa kasih, menghormati dan menghargai.
“Roh ihsan yang senantiasa menekankan kepentingan mengasihi, menghormati dan menghargai sesama warga nusa dan bangsa perlu terus dijulang dalam memacu pembangunan bersama-sama.
“Selamat menyambut ulang tahun buat seluruh warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Moga kesatuan dan kebersamaan yang ada ini terus berkekalan dengan hendak-Nya,” katanya.
Sambutan Hari Wilayah Persekutuan jatuh pada 1 Februari setiap tahun bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan dan tahun ini merupakan sambutan kali ke-21 sejak diperkenalkan pada tahun 2004.
Tema bagi sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini ialah ’Wilayah Persekutuan Kita’.