Agong bimbang budaya fitnah, hasutan dalam media sosial
3 FEB : Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan kembimbangan dengan budaya fitnah dan hasutan yang berleluasa dalam media sosial.
Baginda menitahkan agar kerajaan lebih tegas dalam membendung budaya itu daripada terus merebak.
“Saya juga merasa bimbang dengan budaya fitnah dan hasutan dalam talian serta media sosial yang menyebabkan rakyat keliru, bermusuhan juga berpecah-belah.
“Oleh itu, kerajaan perlu tegas dalam membendung budaya ini dan bersikap proaktif untuk memberi maklumat yang betul-betul dan dipercayai,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas di Parlimen, hari ini.
Sultan Ibrahim turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
“Namun begitu suka saya ingatkan kepada masyarakat supaya sentiasa berhati-hati agar tidak menjadi mangsa jenayah siber seperti penipuan kewangan dalam talian atau pencurian identiti,” titah baginda.
Titah baginda, Pengukuhan infrastruktur dan ekonomi digital, peningkatan keselamatan siber serta penggunaan teknologi terkini hendaklah dilaksanakan segera.
“Sistem perkhdimatan kerajaan juga hendaklah dinaik taraf menggunakan teknologi digital yang lebih cekal dan telus. Ini bagi membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa serta budaya ‘red tape’ yang menyusahkan rakyat,” titah baginda lagi.
Dalam perkembangan lain, baginda menyentuh soal kerjasama antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.
“Malaysia akan terus kukuh atas semangat kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Setiap tindakan dan keputusan mestilah dibincang secara sepakat demi masa depan rakyat dan negara.
Sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia perlu menunjukkan keupayaan dalam memimpin dan menentukan hala tuju ASEAN,” titahnya.
Pada masa sama, baginda mahu Malaysia perlu kekal tegas mendukung keamanan menentang keganasan dan penindasan di mana peperangan di Gaza perlu segera ditamatkan dan keadilan undang-undang hendaklah dilaksanakan.
Titahnya, kerajaan juga perlu bijak dalam mengekalkan hubungan diplomatik dengan semua pihak selain meningkatkan kerjasama strategik dalam menangani isu-isu serantau dan sempadan negara.
“Tindakan tegas melalui saluran diplomatik undang-undang dan pertahanan perlu diambil bagi memastikan kepentingan negara kekal terus terpelihara walaupun hanya seketul batu karang di tengah laut,” titah Sultan Ibrahim.
Bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, baginda bertitah ia akan membuka peluang ekonomi dan mengukuhkan imeh negara di mata dunia maka semua pihak perlu berusaha untuk menjayakannya dalam memastikan negara bersih serta selamat.
“Tidak ada pelancong yang hendak datang kalau negara kita kotor, dan kadar jenayah yang tinggi,” titah baginda.
Terdahulu, baginda berangkat tiba di Dewan Rakyat kira-kira jam 10.10 pagi diiringi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Mengikut takwim rasmi Parlimen, Dewan Rakyat bersidang selama 18 hari dengan pembentangan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja serta perbahasan usul selama 7 hari mulai esok.
Sesi persidangan diteruskan dengan sesi jawapan menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Februari selain dan pembentangan rang undang-undang (RUU) serta urusan kerajaan yang lain akan berlangsung pada enam hari terakhir persidangan bermula 26 Februari.
Persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 13 hari bermula 3 Mac.
*OLEH : HANUM RAJAK