Parlimen bukan sekadar tempat bersidang : J-KOM
4 FEB : Institusi Parlimen bukan sedar tempat persidangan untuk blok kerajaan dan pembangkang berbahas semata-mata.
Sebaliknya Parlimen berperanan lebih besar dalam melakukan semak dan imbang terhadap kementerian dan agensi kerajaan.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop berkata persidangan itu hanya satu bahagian daripada fungsi Parlimen secara keseluruhannya dan kerajaan serta pembangkang ada peranan penting dalam mencapai agenda kepentingan rakyat serta kemakmuran negara.
“Kalau dalam sistem Westminster ia (wakil rakyat) disebut sebagai legislator atau penggubal undang-undang. Namun, dalam konteks (di negara) kita ini, kita sudah terbiasa dengan (pengasingan), ini blok kerajaan dan ini pembangkang.
“Saya secara peribadi lihat Ahli Parlimen jangan terbawa-bawa dengan sentimen kepartian dan politik sempit untuk menjaga kepentingan parti masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Titah Agong: Junjung Daulat Negara, Rakyat Sejahtera’, malam tadi.
Menurutnya, wakil rakyat perlu menjaga etika sebagai individu yang diberi mandat oleh rakyat sebagai penggubal undang-undang ketika memasuki Parlimen.
Malah katanya, Parlimen disebut sebagai ‘dewan yang mulia’ menunjukkan ia sangat ‘sakral’ kepada setiap ahli Parlimen yang sudah Smengangkat sumpah.
“… dalam demokrasi yang lebih terbuka dan liberalisasi maklumat, jangan lupa rakyat sedang memerhati, jangan sampai rakyat hilang keyakinan kepada institusi tertinggi negara. Saya fikir itu mesej penting yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim,” katanya.
Semalam, Sultan Ibrahim ketika Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15, baginda mengingatkan semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara bahawa Parlimen itu bukanlah tempat untuk bertegang urat, memaki hamun atau menabur fitnah.
“Parlimen adalah gelanggang pertemuan suara rakyat jelata, tempat di mana undang-undang digubal dan medan semak dan imbang atau ‘check and balance’ ke atas pentadbiran negara. Parlimen bukan tempat untuk bertegang urat, memaki-hamun atau menabur fitnah tetapi ia adalah dewan yang mulia untuk membahasakan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.
“Ahli-ahli Yang Berhormat hendaklah menjadi benteng perpaduan negara dan bukannya agen perpecahan rakyat. Justeru itu, hentikan tindakan bermain politik atas setiap isu dan jangan hanya mementingkan parti atau kelompok sendiri sahaja,” titah baginda.
*Foto utama : Facebook Anwar Ibrahim