4 FEB : Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Sewaan Kediaman (RTA) perlu disegerakan bagi memastikan hak pemilik kediaman dan penyewa sentiasa terpelihara di negara ini.
Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berkata RUU tersebut diperlukan bagi menangani pelbagai isu yang timbul akibat ketiadaan peraturan jelas untuk menyelesaikan pertikaian dihadapi pihak tersebut.
“Sehingga kini, kerajaan tidak mempunyai dasar mengawal urusan sewaan kediaman supaya lebih telus mengikut lokaliti yang membela nasib penyewa dan pemilik.
“Pemilik kediaman secara suka hati menaikkan sewa tanpa ada garis panduan manakala penyewa pula lari daripada membayar sewa…jadi siapa yang hendak membela nasib mereka?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, sesi libat urus bersama kerajaan negeri serta pihak-pihak berkepentingan dijalankan bermula November 2024 dan dijangka selesai pada suku pertama 2025 bagi menggubal RUU RTK.
Dalam perkembangan sama, Mohd Shahar yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) menyatakan jumlah pemilikan rumah di negara ini masih berada pada tahap rendah kerana sebahagian besar rakyat lebih memilih untuk menyewa rumah.
Jelas beliau, ketika ini 70 peratus rakyat Malaysia masih bergelut dengan tekanan kewangan dan kos sara hidup yang tinggi sehingga menyukarkan mereka untuk memiliki kediaman sendiri.
“Tidak dapat dinafikan rakyat Malaysia masih bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi walaupun inflasi negara cara secara keseluruhan berada pada tahap baik 1.8 peratus pada tahun 2024…tetapi inflasi bagi mengikut kategori perumahan, utiliti dan gas adalah tertinggi pada kadar 3.2 peratus.
“Isu miskin rumah berlaku apabila sebahagian besar pendapatan dihabiskan untuk membayar hutang rumah, sewa, perbelanjaan berkaitan utiliti, cukai, penyelenggaraan…ini semua menyukarkan rakyat untuk menampung keperluan asas yang lain.
“Kita perlu melihat pentakrifan isi rumah bagi memastikan kita dapat mencerminkan realiti masalah struktur berakar, pastinya bermula daripada gaji yang rendah dan tidak setimpal untuk menampung kehidupan,” katanya.
Mohd Shahar berkata implikasi daripada kadar pendapatan yang rendah turut meningkatkan penggunaan akses kredit atas talian seperti ‘buy now pay later’ (BNPL) dalam kalangan masyarakat seterusnya mengakibatkan mereka terjerumus ke arah perangkap hutang digital.
“Ketika ini, rakyat menghadapi pertumbuhan gaji yang perlahan dan kos sara hidup meningkat namun terdapat kenaikan perbelanjaan isi rumah akhirnya mendorong kepada hutang isi rumah.
“Pada 2023, nisbah hutang isi rumah kepada KDNK mencecah 84. 2 peratus dengan nilai RM1.53 trilion.
“Jika trend ini tidak dikawal sebaiknya ia boleh mewujudkan masyarakat yang rapuh dan tidak berdaya tahanserta krisis kewangan dan ketidaktentuan ekonomi ini akan berterusan,” katanya selain menambah penggunaan BNPL juga dkhuatiri akan meningkatkan pengangguran.
Sementara itu, beliau berkata Malaysia perlu menggalakkan inovasi sektor swasta dengan menyediakan ekosistem yang kondusif untuk pertubuhan syarikat tempatan bagi meningkatkan Kadar kejayaan pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Jelas beliau, hal ini kerana negara ini masih terperangkap dalam rantaian industri bernilai rendah, di mana penurunan produktiviti membawa kepada masalah deindustrialisasi, iaitu penurunan berterusan peranan kepada sektor pembuatan dalam negara.
“Menurut laporan SME, 37 peratus Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS)
mampu mengakses tender kerajaan berbanding 85 peratus kontrak bernilai tinggi yang dimenangi syarikat berkaitan kerajaan (GLC)…situasi ini mencerminkan ketidakseimbangan struktur.
“Ini bukan sahaja membantutkan inovasi, tetapi juga melambatkan pertumbuhan ekonomi inklusif…teguran ini bukan menafikan jasa GLC tetapi bagi memastikan kerajaan terus relevan dengan semangat kerangka Ekonomi MADANI dalam membina ekonomi yang adil dan dinamik,” katanya.
OLEH : AISYAH BADRUL