5 FEB : Ketegasan pendirian Malaysia yang kekal neutral dan berkecuali dalam era pemisahan Amerika Syarikat (AS) dan China menjadi faktor penting menyerlahkan peranan sebagai Pengerusi ASEAN, tahun ini.
Pendirian ini dilihat penting bagi memastikan Asia Tenggara tidak menjadi medan pentempuran yang boleh membawa kemusnahan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar sentiasa mempamerkan sikap tidak memihak kepada mana-mana blok selain lantang dalam menyatakan pandangan di peringkat antarabangsa.
Penganalisis politik Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan berpendapat pendirian Malaysia dalam pertembungan kedua-dua kuasa besar itu menjadi kesan strategik dalam kepengerusiannya tahun ini yang turut menjadi pegangan negara ASEAN lain.
“Sebagai pengerusi, Malaysia boleh membawa hala tuju ASEAN ke arah mana terutama sekali dalam perebutan pengaruh oleh dua kuasa besar China dan AS.
“Saya yakin Perdana Menteri akan membawa ASEAN ke arah neutral kerana bagi beliau sebagai pengerusi, perkara paling penting dalam kepengerusian ini adalah meningkatkan eknomi ASEAN.
“Pendirian neutral Anwar dicerminkan menerusi usaha beliau yang memposisikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mesra dengan semua blok-blok negara asing. Kesan geopolitik juga tidak menghalang kita daripada menjalankan perdagangan dengan AS,” katanya kepada BBCPORTAL.
Azmi menambah usaha perdana menteri membawa Malaysia menyertai BRICS, Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) dan Kerangka Ekonomi Indo-Pasifik untuk Kemakmuran (IPEF) juga merupakan inisiatif untuk imbangi pengaruh kuasa-kuasa besar.
Katanya, pendirian neutral yang diamalkan ASEAN juga dilihat mampu menarik banyak pelaburan dan perdagangan mengalir ke blok itu.
Mengulas mengenai kesediaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, Azmi berkata negara kita sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi sejak kali terakhir mempengerusikannya, sepuluh tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya persediaan di peringkat akar umbi khususnya mengenai infomasi kepengerusian ASEAN perlu dipertingkat bagi memastikan setiap lapisan masyarakat memahami kepentingannya terhadap negara.
“Pada peringkat bawahan iaitu informasi maklumat mengenai kepengerusian ASEAN tidak diterbitkan kepada orang ramai.
“Di peringkat itu saya lihat masih belum bersepadu kerana ramai masih tidak memahami dan tidak prihatin tentang kepentingan kepengerusian ASEAN ini,” katanya.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dilapor berkata sebanyak 29 program dirangka untuk pelbagai lapisan masyarakat, termasuk komuniti luar bandar, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), belia, wanita, orang kurang upaya, warga emas dan kanak-kanak bagi memastikan golongan tersebut turut mendapat manfaat daripada kepengerusian ASEAN.
Katanya, inisiatif tersebut selaras dengan matlamat kepengerusian ASEAN yang mahu memberi manfaat kepada rakyat selain ia merupakan agenda nasional yang memerlukan penglibatan seluruh Malaysia dan masyarakat.
Kepengerusian ASEAN bermula dengan penganjuran Pemukiman Menteri Luar ASEAN yang pertama di Langkawi 19 Januari lalu melibatkan 200 delegasi.
Di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, Malaysia menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat, program dan sidang kemuncak berkaitan ASEAN sepanjang tahun ini.
*OLEH : AISYAH BADRUL