Pengguna 5G cecah 53.35 peratus pada 2024
5 FEB : Kementerian Komunikasi memaklumkan penggunaan rangkaian 5G sudah mencecah 53.35 peratus atau 18.19 juta langganan di seluruh negara setakat suku keempat, tahun lepas.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata itu merupakan pencapaian baik dalam tempoh singkat yang juga langkah besar dalam usaha membangun infrastruktur telekomunikasi yang lebih baik.
“Pengguna 5G di seluruh negara sudah mencecah 53.35% atau 18.19 juta langganan. Ini pencapaian yang cukup baik dalam tempoh yang singkat dan langkah besar dalam usaha kita membangunkan infrastruktur telekomunikasi yang lebih baik untuk semua.
“Perkembangan positif ini antara yang dibentang dalam Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan Dwirangkaian 5G yang saya pengerusikan di Kementerian Komunikasi, hari ini,” katanya melalui hantaran di Facebook.
Menurut hantaran sama, Fahmi berkata liputan 5G di kawasan berpenduduk di seluruh negara juga sudah mencapai 82.4 peratus yang memperkukuh lagi infrastruktur digital negara.
“Ini pasti membuka lebih banyak peluang untuk inovasi, meningkatkan produktiviti serta membawa kebaikan buat rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata mesyuarat berkenaan turut meneliti dan memutuskan beberapa perkara khusus berkait hala tuju Digital Nasional Berhad (DNB) serta rangkaian kedua diterajui U Mobile, yang akan diumum tidak lama lagi.