6 FEB : Cadangan mengusir rakyat Palestin dari Gaza disifatkan sesuatu yang di luar kewarasan selain melanggar segala piagam yang ada di peringkat antarabangsa.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia berpendirian tegas menolak saranan tidak masuk akal itu.
“Pendirian kita menyatakan bahawa ASEAN dan Malaysia sebagai pengerusi tahun ini kita tidak bersetuju dengan sebarang bentuk pelanggaran undang-undang antarabangsa. Kita tidak bersetuju dengan apa saja pelanggaran piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kita tidak bersetuju dengan pelanggaran hak asasi manusia, Geneva Convention ataupun yang sebagainya. Pendirian kita jelas,” katanya.
“Kita menegaskan sekeras-kerasnya bahawa apa yang disarankan, apa yang dikatakan itu merupakan sesuatau yang di luar fikiran waras dan ia di luar sama sekali segala konvensyen segala piagam dan segala triti antarabangsa. Kita menolak cadangan yang tidak masuk akal ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang mahu mengetahui reaksi Malaysia terhadap cadangan pemindahan secara paksa terhadap rakyat Palestin.
Menurut Mohamad, Malaysia sudah berbincang dengan rakan negara lain bagi mengatakan pendirian tegas dan satu kenyataan bersama ASEAN akan dikeluarkan berkait perkara itu.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata Malaysia kesal dengan cadangan itu dan sudah menyatakan pendirian melalui kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra, hari ini.
“Jadi, pengumuman untuk mengusir rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza itu adalah perkara yang amat kita kesali dan Malaysia menegaskan melalui Wisma Putra sebagai jurucakap kerajaan Malaysia, kita telah mengeluarkan kenyataan menegaskan bahawa kita menentang dan tidak bersetuju tentang cadangan untuk mengusir secara paksa rakyat Palestin.
“Rakyat Palestin sudah nyatakan mereka tidak mahu berganjak keluar dari tanah air mereka seperti yang saya jelaskan sebelum ini di dewan yang mulia ini. kita dah banyak kali bincangkan dalam dewan ini bahawa Malaysia menyokong perjuangan Palestin…bukan sehari dua ini,” katanya.
Tegasnya, Malaysia sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam mempertahankan tanah air kerana mereka berhak mendapatkan sebuah negara yang merdeka.
“Kita menyokong perjuangan orang Palestin untuk mendapatkan hak sebuah negara yang merdeka. Kita bukan menyokong kerana apa-apa isu yang lain.
“Jadi adalah bertentangan dengan sokongan kita selama ini…sokongan masyarakat antarabangsa selama ini, resolusi-resolusi PBB yang selama ini menyatakan bahawa rakyat Palestin berhak untuk dapat negara mereka yang merdeka sendiri.
“Cara mana itu terpulanglah. Kalau cara penyelesaian dua negara…kalau itu cara terbaik…kerana kita tak ada cara lain lagi,” katanya.
Semalam, Presiden Amerika Syarikat (AS) menyatakan AS akan mengambil alih Gaza untuk dibangunkan dan mengosongkan wilayah itu dengan memindahkan rakyatnya ke negara jiran.
Perkara itu disuarakannya pada sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington.