6 FEB : Pemuda UMNO mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mahu mengambil alih Gaza dan memindahkan penduduknya ke negara jiran.
Ketuanya, Datuk Dr Akmal Saleh berkata cadangan tidak masuk akal itu jelas satu pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan sesebuah negara.
“Cadangan ini bukan sahaja tidak masuk akal, malah ia merupakan satu pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan sesebuah negara, mencabuli undang-undang antarabangsa, dan menunjukkan kejahilan yang jelas terhadap realiti konflik di Palestin.
“Tindakan sedemikian jelas melanggar prinsip asas Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Konvensyen Geneva serta resolusi-resolusi antarabangsa yang menegaskan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.
“Cadangan ini juga mencerminkan sikap angkuh dan jahil terhadap penderitaan berjuta-juta rakyat Palestin yang telah sekian lama ditindas rejim zionis Israel,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Presiden Amerika Syarikat (AS) menyatakan AS akan mengambil alih Gaza untuk dibangunkan dan mengosongkan wilayah itu dengan memindahkan rakyatnya ke negara jiran.
Perkara itu disuarakannya pada sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington.
Menurut Akmal, pihaknya mengesyorkan Wisma Putra untuk segera mengeluarkan nota bantahan rasmi terhadap kerajaan AS serta memanggil Duta Besar AS ke Malaysia bagi menyatakan pendirian tegas negara dalam isu itu.
“Malaysia tidak boleh berdiam diri apabila kedaulatan sebuah negara diceroboh dan hak rakyatnya diabaikan,” katanya.
Selain itu, Pemuda UMNO turut menyeru Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN mengambil pendirian yang tegas terhadap AS dalam menolak sebarang tindakan yang mencabuli hak asasi rakyat Palestin dan menjejaskan kestabilan rantau tersebut.
Kata Akmal, Pemuda UMNO bertegas penyelesaian kepada krisis di Gaza bukanlah melalui penjajahan baharu oleh kuasa besar tetapi melalui keadilan dan pematuhan kepada hak asasi manusia.
“Kami menyeru komuniti antarabangsa untuk menolak sebarang cadangan yang bertentangan dengan prinsip keadilan dan kedaulatan negara serta mendesak agar hak rakyat Palestin dikembalikan sepenuhnya.
“Kami berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan akan terus memperjuangkan hak mereka untuk bebas dari kezaliman dan penjajahan. Shame on you, United States of America!,” katanya.
Hari ini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan kenyataan Trump itu sebagai di luar kewarasan dan melanggar sebarang bentuk undang-undang antarabangsa.