7 FEB : Kerajaan menyediakan kursus khas bagi sektor inap desa sebagai persiapan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha itu bagi memastikan usahawan desa bersedia mengadaptasi standard antarabangsa dalam pengurusan homestay, sekaligus meningkatkan daya saing sektor pelancongan desa negara.
“Sektor inap desa atau homestay berpotensi besar dalam meningkatkan pendapatan serta taraf hidup masyarakat luar bandar.
“Sehubungan itu, Institut Kemajuan Desa (INFRA), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah memperkenalkan kursus khas untuk usahawan homestay dan program TVET homestay bagi menyokong Kepengerusian ASEAN 2025 serta sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET negara, INFRA berperanan sebagai Pusat Bertauliah TVET bagi program homestay selain menjadi pusat rujukan utama dengan menawarkan kursus wajib sebagai prasyarat bagi pendaftaran homestay yang sah di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Sebagai Menteri KKDW, saya mahu INFRA terus menjadi peneraju dalam menyediakan modul latihan berimpak tinggi yang bukan sahaja menawarkan kursus tetapi turut memastikan pembangunan modal insan desa yang berkualiti dan berdaya tahan serta memenuhi keperluan semasa.
“Sehingga kini, INFRA telah melahirkan 295 graduan TVET Program Homestay, manakala 10,094 peserta kursus telah berdaftar di bawah MOTAC sebagai pengusaha Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM),” katanya.
Menurutnya, INFRA merangka pelbagai program bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengusaha homestay termasuk pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Penyeliaan dan Koordinasi Homestay Tahap 3, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Operasi Homestay Tahap 2, Kursus Pengenalan Homestay, Kursus Asas Homestay dan Kursus Lanjutan Homestay.
Katanya, program-program itu menyasarkan penyertaan 1,000 peserta daripada kalangan usahawan desa yang ingin memperkukuh daya saing dalam industri pelancongan.
“Saya yakin, dengan pelaksanaan kursus berkaitan homestay ini, INFRA berada pada kedudukan yang kukuh untuk menjadi institusi unggul dalam memacu pembangunan desa di Malaysia. Langkah ini selari dengan misi dan visi KKDW dalam memastikan masyarakat desa terus maju, berdaya saing dan berdaya tahan dalam era globalisasi,” katanya.