7 FEB : Kerajaan akan mengumumkan sebarang perkembangan berkait permohonan baharu pelesenan media sosial minggu depan.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada sidang media selepas mesyuarat jemaah menteri hari ini ketika dibangkitkan tentang pelesenan media sosial.
“Ya, saya percaya insya-Allah minggu depan, lepas (perayaan) Thaipusam kita akan ada sedikit maklumat,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Setakat ini, kerajaan sudah mengeluarkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi kepada ByteDance (TikTok), Tencent (WeChat) dan Telegram untuk membolehkan mereka beroperasi di negara ini.
Permohonan gergasi media sosial, Meta yang mengendalikan Facebook, Instagram dan WhatsApp pula dijangka selesai dan diluluskan dalam masa terdekat.
Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.