7 FEB : Kerajaan akan memuktamad dan mewartakan senarai peluasan dan semakan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada suku pertama tahun ini.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata perkara itu akan dilaksana selepas proses libat urus antara kementeriannya dengan pihak industri bagi menentukan skop dan kadar cukai.
“Pada masa ini, MOF dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sedang giat mengadakan sesi libat urus dengan Kementerian dan pihak industri bagi memuktamadkan skop dan kadar cukai yang terlibat. Selain libat urus dengan industri yang berkait langsung dengan cukai jualan, industri-industri besar yang melibatkan perkhidmatan juga turut dilibatkan
“Senarai muktamad peluasan skop dan semakan kadar SST akan diwartakan melalui perundangan subsidiari dalam suku pertama 2025 selepas proses libat urus diselesaikan bagi membolehkan persediaan secukupnya sebelum perubahan SST dikuatkuasakan,” kata MOF dalam jawapan bertulis disiar pada laman sesawang Parlimen.
MoF berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai perincian peluasan skop SST secara progresif yang akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Mei 2025 dan apakah terdapat peningkatan kadar cukai dalam peluasan skop yang akan dimuktamadkan kelak.
Menurut MOF, kerajaan akan mencadangkan barangan keperluan asas kekal dikecualikan cukai seperti sedia ada namun mencadangkan kadar 5 peratus dan 10 peratus diperluas kepada barangan bukan keperluan asas, diproses, bernilai tinggi serta barangan diimport.
“Penetapan cukai perkhidmatan pula melibatkan kadar yang dicadangkan sebanyak 6 peratus dan 8 peratus untuk diperluas kepada sektor perkhidmatan tertentu,” kata kementerian itu lagi.
Katanya, libat urus turut membincangkan kompleksiti isu berbangkit kesan kenaan yang bakal memberi impak terhadap sektor perkhidmatan terlibat namun kerajaan akan memastikan kadar tersebut tidak memberi kesan kepada golongan rentan dan kesan inflasi yang terkawal.
Dalam pada itu, MOF berkata kerajaan sentiasa mengambil pendekatan yang berhati-hati dalam melaksanakan penambahbaikan ke atas sistem percukaian negara dan menambah baik hasil untuk diberikan kembali kepada rakyat dalam bentuk perkhidmatan dan bantuan.
“Meskipun terdapat keperluan untuk meningkatkan hasil negara, kerajaan akan terus mengimbangi hasrat ini dengan mengambil kira input dan keperluan untuk melindungi rakyat, industri dan peniaga termasuklah Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
“Peluasan skop dan kadar SST melalui Belanjawan 2025 adalah langkah untuk menyokong usaha Kerajaan MADANI memperkukuh asas fiskal dan membawa ekonomi negara ke landasan yang lebih baik,” kata MOF.