Tidak perlu garis panduan khusus hadir ke rumah ibadat agama lain

7 FEB : Umat Islam tidak memerlukan sebarang garis panduan untuk berkunjung ke rumah ibadat bukan Islam.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet hari ini di mana tiada keperluan untuk mengeluarkan garis panduan yang spesifik dalam perkara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata umat Islam di negara ini sudah sedia maklum dengan keperluan menjaga akidah masing-masing.
Katanya, mengunjungi rumah ibadah bukan Islam dibolehkan selagi dengan niat untuk menyantuni masyarakat lain yang berbilang agama dan bangsa.
“Saya berpendapat (garis panduan) tidak perlu kerana orang Islam tahu garis dia. Dia datang macam saya ke acara ini, saya bukan masuk upacara agama…(Menteri Digital) Gobind Singh sering ke masjid di kawasan dia tapi (bukan) upacara agama tapi majlis.
“Jadi jangan jangan persulitkan, jangan menimbulkan kerisauan dalam masyarakat ini. ini Saya nak tegaskan keputusan muktamad Jemaah Menteri pagi tadi.
“Jadi tidak perlu ada garis panduan khusus, yang penting kena tahu akidahnya, tahu batasnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Kuil Batu Caves di Gombak, hari ini.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan bersama berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh memberi nasihat kepada orang Islam namun ia tidak bersifat dasar.
Mengulas lanjut, Anwar berkata biarpun Perlembagaan menggariskan Islam sebagai agama Persekutuan namun semua agama perlu dijaga demi keharmonian negara.
Katanya, keputusan Kabinet itu akan dipersembahkan kepada Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
