8 FEB : Kerajaan menasihatkan mana-mana pempengaruh media sosial agar berpada-pada dan tidak keterlaluan dalam menghasilkan kandungan masing-masing.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata insiden yang berlaku kepada pempengaruh warga Malaysia di Indonesia itu perlu diambil iktibar.
“Dari segi pempengaruh yang menghasilkan content (kandungan) untuk penonton mereka ini, nasihat saya berpada-pada. Jangan keterlaluan, biarlah ini kita ambil pengajaran dengan apa yang berlaku.
“Mungkin cara kita hasilkan konten…dia tidak seperti apa diceritakan dalam konten itu. Netizen sangat pantas melakukan siasatan mereka sendiri. Saya dapati ada beberapa pempengaruh lain juga sudah mendapatkan pengesahan tertentu (membuktikan kandungan dihasilkan palsu),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau pemasangan WIFI di Kolej Kediaman Zaaba, Univerisiti Malaya (UM) di ibu negara, hari ini.
Beliau diminta mengulas kes tular dua pempengaruh Malaysia, Aras Abdullah dan Ammar Mohd Nzahan yang terbabit dalam pembikinan kandungan media sosial palsu di Bandung, Indonesia.
Aras dan Ammar mendakwa rakan mereka hilang dalam hutan di Bandung selepas memasuki hutan di wilayah itu yang didakwa ditemui selepas tiga hari.
Namun polis Indonesia mengesahkan insiden itu palsu dan hanya lakonan mereka.
Mereka kemudiannya meminta maaf secara terbuka dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan menyerahkan kepada agensi penguatkuasaan untuk menjalankan siasatan terhadap kes itu.
“Sekiranya ia membabitkan badan penguatkuasaan (di negara ini), maka kita serahkan kepada badan itu untuk melakukan siasatan,” katanya.
*Foto : Facebook Universiti Malaya