8 FEB : Malaysia perlu lebih strategik dan inovatif bagi memastikan negara bukan saja kekal memimpin industri halal dunia malah turut menjadi pusat rujukan utama ekosistem halal global.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata persaingan dunia hari ini semakin sengit apabila lebih banyak negara mula mengambil langkah agresif untuk memperkukuh kedudukan mereka dalam sektor ini.
Justeru itu, beliau memimpin usaha merangka strategi baharu yang lebih dinamik dan berkesan untuk melonjakkan jenama halal Malaysia ke tahap lebih tinggi.
“Dunia kini berlumba-lumba menguasai pasaran halal, dan Malaysia tidak boleh sekadar berpuas hati dengan pencapaian sedia ada. Sebaliknya, kita perlu bergerak lebih pantas, lebih strategik, dan lebih inovatif untuk memastikan Malaysia bukan sahaja kekal sebagai pemimpin industri halal dunia, tetapi juga menjadi pusat rujukan utama dalam semua aspek ekosistem halal global.
“Sebagai Pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Agenda Halal Malaysia, saya telah memimpin usaha merangka strategi baharu yang lebih dinamik dan berkesan untuk melonjakkan jenama halal Malaysia ke tahap lebih tinggi.
“Fokus utama strategi ini adalah untuk meningkatkan daya saing jenama halal Malaysia di peringkat antarabangsa, memanfaatkan potensi pasaran halal global yang terus berkembang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Malaysia terus diiktiraf sebagai peneraju industri halal di peringkat global dengan nilai industri halal dunia dianggarkan mencecah AS$ 3.1 trilion menjelang 2025 dan sehingga Disember 2024, industri halal menyumbang sebanyak 7.7 peratus pada RM146.6 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Katanya, enam kluster utama dikenal pasti sebagai teras transformasi ekosistem halal Malaysia iaitu dasar halal negara dikaji semula dan ditambah baik agar selaras dengan perkembangan global serta memenuhi keperluan lebih 1.9 bilion umat Islam dunia.
“Kedua, sistem pensijilan halal akan didigitalisasikan sepenuhnya bagi mempercepat serta mempermudah proses permohonan dengan sasaran mencapai 100% digitalisasi menjelang 2026. Mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan akan diperkukuh bagi menjamin kredibiliti pensijilan halal Malaysia mengekalkan statusnya sebagai antara sijil halal paling diyakini di peringkat antarabangsa.
“Ketiga, tumpuan kepada sektor bernilai tinggi seperti farmaseutikal halal, logistik halal, dan teknologi makanan dengan sektor farmaseutikal halal sahaja dianggarkan bernilai AS$134 bilion yang mengukuhkan ekosistem halal domestik serta memacu pertumbuhan industri halal Malaysia yang kini menyumbang sekitar 7.7% kepada KDNK negara.
“Keempat, bagi memastikan produk halal Malaysia dapat menembusi lebih banyak pasaran antarabangsa, strategi pemasaran baharu akan memanfaatkan platform digital dan e-dagang secara menyeluruh,” katanya.
Sementara kluster kelima, pengurusan bakat dan tenaga kerja halal akan diperkasa melalui latihan, pensijilan profesional serta peluasan program TVET halal bagi melahirkan tenaga kerja yang berdaya saing di peringkat global dengan sasaran 50,000 tenaga kerja halal kompeten menjelang 2030 menjadi keutamaan.
Keenam, penyelidikan dan pembangunan (R&D) halal akan terus diperkukuh dengan kerjasama erat antara institusi akademik dan industri bagi menghasilkan inovasi baharu dalam produk serta perkhidmatan halal di mana lebih banyak pusat kecemerlangan halal akan diwujudkan di Malaysia bagi memacu inovasi juga kepakaran teknikal dalam bidang halal.
“Saya yakin kejayaan ini dapat direalisasikan dengan sokongan padu kerajaan, industri, dan masyarakat. Malaysia mesti menerajui transformasi industri halal global, dan dengan strategi yang jelas serta kerjasama erat, InsyaAllah negara kita akan terus menjadi hab halal unggul yang diyakini dunia,” kata Ahmad Zahid.