KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
Tindakan Perintah Larangan Di Bawah Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984 [Akta 301] Terhadap Tiga (3) Tajuk Penerbitan Yang Mungkin Memudaratkan Kemoralan
1. Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan tanggungjawab yang berterusan untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam termasuklah kawalan dan penguatkuasaan peraturan terhadap mesin cetak dan penerbitan dalam negara. Ini penting bagi mengelakkan penyebaran ideologi atau gerakan yang bertentangan dengan budaya serta nilai-nilai murni masyarakat Malaysia yang majmuk.
2. Justeru itu, KDN telah mewartakan Perintah Larangan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301] berkuat kuasa pada 21 dan 22 Januari 2025 terhadap tiga (3) tajuk penerbitan yang mungkin memudaratkan kemoralan melalui Warta Kerajaan yang berikut:
(a) ‘My Shadow Is Purple’ oleh Scott Stuart melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) 2025 [P.U.(A) 26] berkuat kuasa pada 21 Januari 2025;
(b) ‘Koleksi Puisi Masturbasi’ oleh Amir Hamzah bin Akal Ali (Benz Ali) melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 2) 2025 [P.U.(A) 31] berkuat kuasa pada 22 Januari 2025; dan
(c) “All That’s Left In The World” oleh Erik J. Brown melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 3) 2025 [P.U.(A) 32] berkuat kuasa pada 22 Januari 2025;
3. Perintah Larangan di bawah Akta 301 ini adalah berasaskan konsep kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku. Dalam masa yang sama, masyarakat turut mendapat pendedahan dan kesedaran mengenai hasil-hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum. Tindakan Perintah Larangan bagi kesemua hasil penerbitan yang berkenaan adalah selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 7(1) Akta 301 yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan tiga (3) hasil penerbitan tersebut yang mungkin memudaratkan kemoralan adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.
4. Adalah diingatkan bahawa berdasarkan peruntukan di bawah subseksyen 8(2) Akta 301, mana-mana individu yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar, atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga (3) tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
5. Kerajaan ingin menyatakan komitmen yang berterusan dalam melaksanakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap mesin cetak dan hasil penerbitan khususnya bagi mencegah penyebaran elemen, fahaman mahupun gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan selaras dengan peruntukan perundangan yang berkuat kuasa demi keharmonian dan kesejahteraan bersama. Maklumat lanjut berkaitan hasil penerbitan yang telah dikenakan tindakan Perintah Larangan di bawah Akta 301 juga boleh akses di laman sesawang rasmi Kementerian Dalam Negeri www.moha.gov.my atau Perundangan Persekutuan https://lom.agc.gov.my/index.php?language=BM.
KEMENTERIAN DALAM NEGERI