8 FEB : Pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kini tidak perlu lagi membayar kos rawatan di 1,400 klinik panel di seluruh negara, bermula tahun ini.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata ia terpakai untuk kes kemalangan bencana pekerjaan serta penyakit khidmat kepada semua pencarum PERKESO.
“Anda boleh terus ke mana-mana 1,400 klinik panel PERKESO di Malaysia dan mendapatkan rawatan perubatan, tak perlu bayar apa-apa.
“Jika sebelum ini anda perlu bayar dahulu lebih kurang RM150 hingga RM200 setiap kali rawatan, kemudian claim balik dengan PERKESO. Lepas sebulan, kita akan bayar balik.
“Tapi selepas ini, pada tahun ini, mereka boleh masuk ke klinik kami, tunjuk kad pengenalan kalau mereka semak, anda adalah ahli PERKESO, anda tidak perlu membayar satu sen pun,” katanya.
Beliau memaklumkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di Bukit Mertajam, malam tadi.
Menurut Steven, inisiatif itu dilaksanakan bagi memudahkan pekerja terutama mereka yang berpendapatan rendah mendapatkan rawatan di klinik panel.
“Ini juga sebenarnya memudahkan majikan-majikan sebab ada majikan yang baik hati, kata pekerja saya cedera, pekerja saya sakit nak hantar ke klinik tapi dia kena bayar dahulu sebab nanti baru boleh tuntut PERKESO tetapi sekarang anda tidak perlu membayar.
“Pergi dapatkan rawatan, PERKESO akan membayar klinik mulai tahun ini,” katanya.
Menurut Sim, sejumlah RM8 juta tuntutan direkodkan tahun lalu melibatkan 20,000 kunjungan ke klinik panel.
Dalam majlis itu Sim menyerahkan tuntutan pelbagai faedah PERKESO kepada 10 penerima yang melibatkan RM145,972.86.
Ia melibatkan Skim Perlindungan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR), Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), Hilang Upaya Kekal (HUK), Hilang Upaya Sementara (HUS) dan Pencen Penakat.
![](http://www.bbcportal.my/wp-content/uploads/2025/02/steven-sim-1024x683.jpg)
Terdahulu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad memaklumkan PERKESO merekodkan 66,574 kes bencana pekerjaan di seluruh negara sepanjang 2024 manakala 68,220 kes direkodkan pada 2023.