Masjid, surau adakan solat hajat doakan kesejahteraan Agong
10 FEB : Masjid dan surau akan mengadakan solat hajat dan doa selamat, esok selepas solat fardhu Maghrib bagi mendoakan kesejahteraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata ia melibatkan masjid di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iatu Masjid Negara Kuala Lumpur, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Turut mengadakan solat hajat adalah masjid dan surau di yang ditadbir Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
“Umat Islam adalah diundang untuk bersama-sama ke masjid atau surau berkenaan bagi mendoakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar dikurniakan kesejahteraan, kesembuhan dan keafiatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jumaat lalu, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan keberangkatan Sultan Ibrahim ke luar negara bagi menjalani rawatan.
Menurut kenyataan itu, seluruh rakyat diminta mendoakan semoga Seri Paduka Baginda dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan berpanjangan.
Menurut Istana Negara, keberangkatan baginda itu sudah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja dan Kerajaan Persekutuan.
Keberangkan baginda turut diiringi Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
Foto : Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar