11 FEB : Kementerian Komunikasi memulakan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian sempena sambutan Hari Keselamatan Internet, hari ini.
Kempen itu sejajar usaha memperkukuh keselamatan dalam talian dan menyediakan ruang digital yang lebih selamat untuk rakyat Malaysia.
Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata kempen berkenaan akan dilaksanakan di lebih 10,000 sekolah dan semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya keselamatan Internet.
“Kempen ini akan diperluas dalam kalangan komuniti bagi memperkasa pengetahun orang ramai tentang keselamatan dalam talian.
“Antara fokus utama kempen, kanak-kanak bawah 13 tahun tidak dibenar miliki akaun media sosial dengan penggunaan Internet perlu di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga; meningkatkan kesedaran agar dapat mengelak daripada menjadi mangsa penipuan dan judi dalam talian, buli siber serta jenayah pedofilia; dan menggalakkan penggunaan Internet secara selamat dan beretika,” kata kenyataan itu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil melancarkan jelajah kempen itu di Universiti Malaysia Kelantan pada 21 Januari lalu.