11 FEB : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan hari ini mengadakan perbincangan dalam pertemuan empat mata di Bangunan Perdana Putra.
Dalam pertemuan itu, kedua pemimpin negara menyentuh fokus untuk memperkukuhkan hubungan bilateral dan bertukar pandangan berkait isu serantau dan global.
Melalui satu kenyataan bersama, Anwar dan Erdogan mengalu-alukan peningkatan interaksi peringkat tinggi antara kedua-dua negara sejak kebelakangan ini termasuk pertukaran di peringkat kementerian.
Malaysia dan Turkiye juga bersetuju mewujudkan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) di peringkat Kementerian Luar sebagai forum utama untuk menentu dan memantau agenda bilateral strategik serta isu serantau dan antarabangsa.
Bagi mencerminkan komitmen Malaysia dan Turkiye untuk meningkatkan lagi kerjasama bilateral, Anwar dan Erdogan turut bersetuju untuk mewujudkan Majlis Strategik Peringkat Tinggi di mana perinciannya berdasarkan persetujuan bersama.
Malaysia dan Turkiye yang menyambut ulang tahun hubungan diplomatik ke-60 tahun lalu akan meningkatkan mekanisma dialog di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif (CPA) dalam bidang-bidang keutamaan tertentu.
Antaranya hubungan diplomatik dan politik; pelaburan dan perdagangan; industri halal; pendidikan; kerjasama keselamatan dan pertahanan termasuk anti keganasan; alam sekitar; sains dan teknologi; serta kerjasama teknikal dan tenaga.
Sementara dalam soal perdagangan, Anwar dan Erdogan juga mengiktiraf keberkesanan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA) yang berkuat kuasa pada 2015 dan berpuas hati dengan pelebaran perjanjian pada 2024 untuk merangkumi perkhidmatan percagaran, pelaburan dan e-dagang.
Malaysia dan Turkiye juga bersetuju memberi sokongan penuh terhadap kerjasama swasta yang lebih luas serta peluang pelaburan.
Kedua pemimpi mengalu-alukan kesediaan bersama mewujudkan Majlis Perniagaan Bersama di antara Joint Business Council between the National Chamber of Commerce and Industry of Malaysia (NCCIM) dan Foreign Economic Relations Board (Dış Ekonomik İlişkiler Kurulu – DEİK) of Türkiye untuk meneroka peluang baharu dalam bidang ekonomi mampan.
![](http://www.bbcportal.my/wp-content/uploads/2025/02/ANWAR-ERDOGAN-6-1024x683.jpg)
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim