11 FEB : Enam individu dipercayai memuat naik kandungan berunsur palsu dan jelik melibatkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Majlis Raja-Raja di Facebook sedang disiasat.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut MCMC, satu operasi pemeriksaan dijalankan terhadap salah seorang suspek di Setapak, Kuala Lumpur yang memuat naik kandungan palsu mengenai Mesyuarat Majlis Raja-Raja.
“Satu unit telefon pintar dan satu unit kad SIM yang berkaitan dengan kes tersebut telah disita bagi membantu siasatan. Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti berkenaan untuk mendapatkan keterangan bagi membuktikan kes,” kata suruhanjaya itu.
Selain itu, satu kes lain akan disiasat bersama pasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan suspek akan diambil keterangan, esok.
Sementara itu, bagi kes-kes lain, operasi pemeriksaan akan dijalankan sepanjang minggu ke atas semua suspek di lokasi berasingan di Sungai Petani, Kota Bharu, Kerian dan Teluk Intan.
“Siasatan menyeluruh akan dibuat dan seterusnya kes akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk keputusan selanjutnya,” kata MCMC.
Terdahulu, MCMC mengeluarkan dua notis kepada dua suspek untuk hadir memberi keterangan berkait kandungan yang dimuat naik oleh mereka di Facebook.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum.
Dalam pada itu, orang ramai diingatkan untuk tidak menggunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk memuat naik sebarang kandungan maklumat palsu atau tidak benar yang boleh membawa kesan serius hingga mencetuskan panik dan kegusaran kepada masyarakat.
“Waspada dengan kandungan yang dimanipulasi dan sentiasa lakukan pengesahan fakta serta semak silang dengan pelbagai sumber yang boleh dopercayai sebelum berkongsi sebarang maklumat.
“Gunakan Chatbot AIFA sebagai platform untuk menyemak berita yang tidak ditentusahkan dalam talian melalui portal Sebenarnya.my serta aplikasi WhatsApp,” katanya.