11 FEB : Kementerian Komunikasi memaklumkan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] mula berkuat kuasa hari ini selepas diwarta 7 Februari lalu.
Kata kementerian itu, pindaan yang diluluskan di Dewan Rakyat, 9 Disember lalu menyediakan ekosistem rangkaian Internet lebih selamat dan mampan kepada pengguna.
“Ini sekali gus memberi perlindungan lebih baik kepada pengguna terutamanya kanak-kanak dan keluarga,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Kementerian Komunikasi memaklumkan jumlah kes jenayah dalam talian mencecah 35,368 kes dengan nilai kerugian lebih RM1.5 bilion pada tahun lalu dan ia membuktikan pindaan akta itu tepat pada masanya.
Kementerian berharap rakyat Malaysia dapat memberi sokongan penuh terhadap usaha-usaha yang dilaksanakan dan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk melindungi diri dan keluarga daripada sebarang ancaman dalam talian.
Pada tahun lalu, ketika sesi penggulungan di Parlimen, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata Seksyen 233 di bawah Akta 588 tidak dimansuhkan untuk mengelak penyalahgunaan rangkaian oleh mana-mana pihak bagi tujuan komersial khususnya penjualan pornografi dan pedofilia.
Sementara pindaan Seksyen 211 tidak terpakai kepada orang awam tetapi penggunaannya adalah kepada pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP).
Menerusi pindaan itu, Seksyen 211 menggantikan perkataan ‘kandungan jelik’ dengan perkataan ‘kandungan yang sumbang dan lain-lain’ manakala dalam Seksyen 211 (b)(1) memotong perkataan ‘atau orang lain yang menggunakan perkhidmatan aplikasi kandungan’ serta menggantikan perkataan ‘jelik’ dengan perkataan ‘jelik melampau’.