12 FEB : Usul menyeragamkan beberapa agensi kerajaan akan dibentang dalam mesyuarat Kabinet pada masa terdekat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha itu bagi menangani isu pertindihan fungsi dalam agensi kerajaan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau akan membuat keputusan berkait usul itu selepas ia dibawa kepada jemaah menteri.
“Mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Seri Asri Hamidon sudah saya tugaskan untuk mengemukakan beberapa usul bagi menyeragamkan beberapa agensi yang akan dibawa kepada Ketua Setiausaha Negara.
“Saya akan membuat keputusan setelah ia dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.
Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan ditubuhkan tahun lalu bagi menangani isu pertindihan fungsi serta penjimatan dana negara.
Asri dilantik mengetuai Jawatankuasa Khas Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan pada 10 September tahun lalu.
Dalam ucapan sama, Anwar berkata agensi kerajaan tidak lagi dibenar untuk mewujudkan syarikat tanpa kelulusan peringkat tertinggi susulan terdapat ribuan syarikat yang mencatat kerugian besar.
“Saya telah memberi arahan supaya tidak boleh diwujudkan syarikat di bawah agensi tanpa kelulusan peringkat tetinggi kerana ribuan syarikat itu mencatat kerugian besar.
“Namun membatalkan syarikat-syarikat tersebut bukanlah perkara yang mudah. Tetapi jika itu wajib dilakukan, kita harus melakukannya dan ini adalah sebahagian daripada proses reformasi institusi,” katanya.
Beliau turut menyeru jentera kerajaan agar berfikir dan bertindak pantas untuk memacu pertumbuhan negara.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata beliau dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berincang soal kaedah pelaksanaan dasar dan strategi besar, semalam
“Kami menegaskan mengenai pelaksanaan dasar dan strategi besar. Ada beberapa hal yang telah dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Pada majlis tersebut, Anwar melancarkan Sistem Terimaan Elektronik Kerajaan Persekutuan (iPayment) yang dibangun Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) bagi memacu transformasi digital sektor awam ke arah komuniti tanpa tunai.